MEDIA sosial sekali lagi hangat membicarakan tentang keperluan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk ia diwujudkan semula.
Perbahasan mengenai isu tersebut kembali diperkatakan apabila terdapat beberapa hantaran yang mengundang kecaman terhadap prestasi murid-murid kerana tidak dapat menjawab soalan asas dengan baik.
Perkongsian itu secara tidak langsung telah menimbulkan tanda tanya mengenai kebolehan murid-murid dalam menghadapi sistem pendidikan lebih mencabar pada masa kini.
Jika hal itu berlarutan, ia akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan di Malaysia bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan berkebolehan dalam pelbagai aspek.
Susulan itu, ramai pengguna media sosial menggesa kerajaan agar meneliti semula keperluan mewujudkan UPSR dan PT3 kerana ia amat membantu murid-murid membuat persediaan lebih rapi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mewujudkan semula UPSR dan PT3 supaya segala kemahiran murid dapat dinilai secara standard, berwibawa, penuh konsisten serta seragam di seluruh negara.
Malah, ia boleh menghapuskan dakwaan yang mengatakan markah pencapaian murid-murid boleh diubah suai untuk memasuki sekolah berasrama penuh.
Jika ada satu sistem peperiksaan, sekurang-kurangnya ia akan memotivasikan murid untuk berlumba-lumba mendapatkan keputusan yang cemerlang atau mungkin juga ‘menggerunkan’ mereka supaya tidak belajar sambil lewa.
Bukan itu sahaja, peperiksaan UPSR dan PT3 turut memainkan peranan dalam menentukan aliran kelas yang sesuai dengan keputusan diperoleh.
Pun begitu, sistem pendidikan sedia ada sebenarnya masih mampu melahirkan generasi berpendidikan, namun keadaan perkembangan anak-anak dilihat seperti ‘tidak pantas’ dan perlahan.
Keadaan itu dilihat semakin membimbangkan selepas Malaysia dilanda wabak Covid-19 yang menyaksikan sesi persekolahan tidak boleh dilaksanakan secara bersemuka.
Ia memberi peluang kepada anak-anak memiliki telefon pintar sendiri bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Namun, kaedah pembelajaran norma baharu tidaklah semudah seperti disangka kerana ada anak-anak yang tidak mahir dan sukar membiasakan diri, seterusnya membuatkan mereka hilang tumpuan.
Ada murid-murid tidak dapat mengikuti silibus pendidikan yang diajar guru disebabkan beberapa faktor, antaranya masalah capaian internet, kurang pemahaman dan tidak berminat belajar secara dalam talian.
Sebaliknya, mereka memilih melakukan perkara lebih menyeronokkan dengan bermain game dan aplikasi media sosial seperti Facebook serta TikTok.
Disebabkan pendedahan dalam dunia media sosial, ada pula yang kemudiannya semakin tidak bersemangat belajar kerana terpengaruh dengan kata-kata segelintir pempengaruh, kononnya tak perlu perah otak belajar dan duduki peperiksaan kerana tak pandai pun, mereka boleh berjaya dan kaya-raya.
Pempengaruh sedemikian memberi gambaran seolah-olah pendidikan bukan segala-galanya untuk mencapai impian.
Bagi menangani tanggapan negatif itu, semua pihak perlu memainkan peranan.
Kembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3, selain merangka strategi pembelajaran yang sesuai agar anak-anak kembali fokus dan menyedari kepentingan menjadi insan berilmu.
Selain itu, dengan mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3, guru-guru mempunyai matlamat serta hala tuju yang jelas serta tahu kegagalan dan kejayaan hasil modul pengajaran yang dilaksanakan.
Realitinya, kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah saling bergantung antara guru serta murid-murid.
Jika guru dan murid mempunyai hala tuju jelas dan matlamat yang boleh diukur melalui peperiksaan awam, maka kualiti semua murid boleh dipertingkatkan atau ditambah baik agar mereka tidak terus ‘tenggelam’.
* Nor Syamira Liana Nor Ashaha ialah wartawan Sinar Harian