PUCHONG - Polis giat mengesan pencuri 19 topi keledar jenama Arai dan Shoei bernilai kira-kira RM63,200 di sebuah kediaman di Taman Bukit Kuchai di sini pada 29 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemiliknya yang juga lelaki tempatan berusia 30 tahun mendakwa telah keluar rumah pada jam 2 petang dalam keadaan pintu biliknya berkunci.
Menurutnya, mangsa yang juga peniaga kemudian pulang kira-kira jam 4.45 petang ke bilik sewanya itu mendapati pintu serta tingkap biliknya telah terbuka dan dapati 19 helmet yang diletakkan di dalam almari kaca dan kayu telah hilang.
"Kemudian suspek dipercayai masuk melalui tingkap belakang bilik mangsa yang terletak di tingkat atas," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, tempat kejadian adalah di sebuah rumah teres dua tingkat dan bilik mangsa berada di tingkat atas.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menjalankan perniagaan menjual topi keledar jenama Arai dan Shoei sejak tahun 2011 di laman Facebook dan TikTok.
"Polis telah mengesan beberapa cap jari di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek terlibat untuk tindakan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Sementara itu, kejadian itu turut dikongsikan di laman grup Facebook RXZ Members - Official yang memaparkan senarai jenis topi keledar yang hilang selain memohon jasa baik semua pihak untuk sebarkan berita ini agar barang terbabit dapat dipulangkan semula.