Penduduk bimbang masalah tanah mendap ancam keselamatan

Iklan
Keadaan tanah mendap berlaku selepas banjir gelombang keempat melanda pada 25 Januari lalu.

BESUT - Penduduk yang menggunakan laluan utama dari Kampung Berangan ke Kampung Keruak di Hulu Besut, disini menyuarakan rasa bimbang ekoran masalah tanah mendap berlaku di kawasan itu yang dikhuatiri mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Wakil penduduk, Mustapha Yazid, 60, berkata, masalah itu berlaku selepas bencana banjir baru-baru ini menyebabkan dua lubang sedalam kira-kira satu meter terbentuk di bahu kiri dan kanan jalan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laluan itu merupakan jalan utama penduduk di beberapa kampung termasuk Kampung Bela Oh, Kampung Keruak, Felcra Keruak, Kampung Pak Sik serta pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak untuk ke Bandar Jertih.

"Kawasan yang terlibat dengan masalah tanah mendap itu merupakan kawasan pembentung (calvert) yang menjadi laluan alur air.

Iklan

"Ketika banjir gelombang ke empat yang berlaku pada 25 Januari lalu, arus air yang deras menyebabkan tanah di sekeliling termasuk pembentung itu runtuh.

"Kita percaya, pembentung itu sudah terlalu lama dan tidak mampu menampung tekanan air yang kuat serta kapasiti air yang meningkat secara mendadak ketika musim banjir," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Berangan, Hulu Besut, di sini pada Khamis.

Iklan

Jelas Mustapha, kawasan terlibat tanah mendap itu telah ditanda bagi memberi amaran kepada penduduk yang melalui jalan tersebut.

Mustapha menunjukkan keadaan tanah mendap yang berlaku di laluan yang menghubungkan dari Kampung Berangan ke Kampung Keruak di Hulu Besut.

"Kita telah panjangkan kepada pihak berwajib mengenai masalah ini. Papan tanda peringatan serta kon keselamatan juga telah diletakkan di kawasan terlibat," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nora Jusoh, 55 turut menyuarakan kebimbangan terhadap masalah itu.

Katanya, dia khuatir laluan itu akan runtuh dan terputus sekiranya tidak dibaiki dengan segera.

"Laluan ini merupakan laluan utama dan bukan hanya kenderaan ringan sahaja yang melaluinya, malah kenderaan berat seperti lori turut keluar masuk.

"Sekarang ini sebahagian bawah jalan ini telah terhakis dan hanya bahagian atas masih kekal meskipun di bahu jalan telah runtuh, keadaan itu dibimbangi akan mengancam nyawa pengguna jalan raya terutama pada waktu malam ekoran keadaan laluan itu yang gelap," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, masalah itu kini dalam tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Pemasangan papan tanda sementara telah diletakkan serta penyiasatan yang menyeluruh akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.