RAKAMAN dari Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memaparkan para doktor terpaksa merawat pesakit di lantai Hospital Al-Amal di Khan Younis, pada Rabu.
Perkara itu dilaporkan Reuters yang berjaya mengesahkan lokasi dan tarikh rakaman video dengan jurucakap PRCS, Nebal Fersakh.
Khan Younis menyaksikan gelombang besar semasa minggu pertama konflik Israel dan Hamas, selepas tentera Israel mengarahkan penduduk awam mengosongkan bahagian utara Gaza atas alasan keselamatan.
Ketika ini, kawasan di selatan Gaza menghadapi pertempuran sengit antara pasukan Israel dan pemberontak Hamas, menjadikannya terlalu berbahaya untuk pesakit atau ambulans melintas.
Selepas pengepungan hospital, termasuk Hospital Nasser dan Hospital Al-Amal, ambulans berfungsi sebagai klinik bergerak di kawasan tersebut.
Kebanyakan hospital telah berhenti beroperasi sepenuhnya atau melakukannya dalam keadaan sukar, dengan peralatan serta ubatan yang tidak mencukupi, serta kemasukan pesakit tanpa henti, termasuk penduduk yang mencari perlindungan di premis hospital. - Awani