SHAH ALAM - Malaysia dikhuatiri akan terjerumus dalam kancah ekonomi yang lebih buruk jika kerajaan berterusan dengan cara kepimpinan dan pentadbiran ekonomi sekarang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aliran negatif Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang dicatatkan adalah salah satu bukti keadaan ekonomi negara semakin meruncing dan tidak sihat.
Bagaimanapun katanya, kerajaan seperti acuh tak acuh dalam menangani apa yang sedang berlaku sekarang dan berlarutan tanpa ada tindakan konkrit yang boleh meredakan keresahan rakyat.
"IHPR terus merekodkan aliran negatif 1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada November tahun yang sama.
"Ada sedikit kenaikan namun IHPR masih berada dalam lingkungan ‘wilayah negatif’, bermaksud permintaan dari luar negara amat rendah di bawah paras asas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kesannya pengilang-pengilang domestik yang terjejas terpaksa mengurangkan pengeluaran produk masing-masing.
"Aliran negatif IHPR ini dijangka menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang.
"Selain memberi kesan kepada pengeluar, ini juga sudah tentu menambahkan beban hidup rakyat daripada aspek tabungan dan pengurangan simpanan individu oleh kerana sumber pendapatannya terjejas,” katanya
Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, sekiranya aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan yang menurun, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja.
Jelasnya, ia akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutamanya masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu yang akan mengusutkan lagi isu beban kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.
"Masalah ini ada kaitan dengan kemerosotan pendapatan eksport dan kenaikan kos import yang dipengaruhi sebahagian besar oleh ketidaktentuan pasaran luar negara.
"Saya melihat situasi ini telah menjejaskan golongan pengguna dan peniaga yang pada masa ini sudah dihimpit dan dibebani dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.
"Peniaga pula masih belum benar-benar dapat keluar daripada fasa pemulihan perniagaan.
"Sepatutnya pada fasa ini kerajaan perlu mengambil langkah segera dan tindakan luar biasa bagi menangani kemelut yang sedang dihadapi untuk memulihkan kembali perniagaan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, ujar beliau, ia tidak berlaku malah lebih banyak masalah timbul ekoran kejatuhan ringgit, penurunan eksport, kenaikan harga bahan import dan kelemahan kuasa membeli pengguna domestik.
Justeru, Muhyiddin khuatir realiti ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara, dalam keadaan para pengguna yang sudah pun terbeban dengan segala bentuk kenaikan harga bahan makanan dan barangan keperluan, tarif elektrik, beberapa jenis cukai perkhidmatan, tambang bas sekolah serta ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu.