KUALA TERENGGANU - Wanita Umno Terengganu menaruh harapan tinggi terhadap Pengerusi Umno negeri yang baharu, Datuk Seri Ahmad Said untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Ketuanya, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, mereka percaya bekas menteri besar itu mempunyai formula dan dapat melakukan sesuatu yang terbaik demi kepentingan Umno dan BN.
"Setelah sekian lama kita dipimpin oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid selepas PRU14, pimpinan negeri dikembalikan kepada pemimpin Terengganu sendiri. Saya melihatnya satu perkembangan positif untuk parti.
"Untuk melaksanakan kerja-kerja di peringkat negeri, Parlimen, Dun, Pusat Daerah Mengundi dan Cawangan, ia lebih berkesan jika diserahkan kepada pemimpin yang tahu masalah susur galur perjuangan Umno Terengganu.
"Kerana itu, kami menaruh harapan tinggi agar Ahmad dapat melakukan sesuatu. Kami mengharapkan maruah dan masalah yang seharusnya menjadi cabaran kepada Umno hari ini, dapat ditangani dengan baik, dengan pelantikan beliau,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman, kembali memegang jawatan sebagai Pengerusi Umno Terengganu bagi tempoh 2019 sehingga 2021, menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, bermula semalam.
Beliau pernah menyandang jawatan yang sama selama lebih lima tahun ketika menjadi menteri besar antara 2008 hingga 2014 dan pelantikannya semula dilihat sebagai persediaan untuk merampas kembali Terengganu daripada Pas dalam PRU15.
Mengulas lanjut, Zaitun berkata, Wanita Umno Terengganu sangat positif dengan masa depan Umno dan kerana itu, semangat perjuangan mereka tidak pernah luntur walau badai melanda parti itu.
"Apa yang penting bagi Umno dan Wanita adalah ia tidak memilih siapa, tidak ada kroni, yang penting adalah wadah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu dan memastikan agama Islam sebagai agama rasmi negara terus dipertahankan.
"Sebab itu kita kena pastikan Umno terus relevan dan kembali mendapat kepercayaan rakyat. Insya-ALLAH, jika ia berjaya dilakukan, kita akan dapat membina balik parti yang lebih utuh dan merampas kembali kerajaan pusat dan negeri,” katanya.