KUALA TERENGGANU - Amalan bacaan doa Qunut Nazilah tidak dihadkan ketika dalam solat sebaliknya ia boleh dibaca mengikut konteks semasa berdasarkan keadaan peperangan yang menimpa umat Islam ketika ini.
Pengerusi Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bacaan doa itu tidak memiliki had tempoh tertentu untuk dibaca malah sunat membacanya selagi musibah yang menimpa umat Islam belum berakhir.
"Bacaan Qunut Nazilah tidak semestinya hanya dibaca waktu solat Subuh atau solat fardu yang lain. Ia boleh dibaca sepanjang masa.
"Dari segi kaedahnya kita maklum ia dibaca ketika solat fardu. Mungkin mereka (menghalang bacaan) tidak faham konteks Qunut Nazilah ini.
"Tidak jadi masalah untuk dibaca misalnya ketika bangun tidur atau nak tidur. Sebenarnya (larangan bacaan ketika bersukan) tidak menepati dalam konteks semasa," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia, di sini, pada Khamis.
Muhammad Khalil berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu itu selepas terdapat pelajar sekolah yang membaca doa berkenaan sebelum memulakan kejohanan sukan yang dikatakan disertai oleh pelbagai kaum.
Hadir sama pada majlis itu ialah Penasihat Paestinians Ulama League, Dr Abdullah Abd Almajeed Alzindani.
Sebelum ini, seorang pemilik akaun media sosial meluahkan rasa kecewa selepas doa itu dibaca beberapa sekolah sebelum masuk ke padang dalam kejohanan ragbi di Sabak Bernam, Selangor.
Tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial malah ada yang berpandangan masyarakat bergama Islam perlu diberikan kefahaman mengenai amalan tersebut.
Isu itu turut mendapat perhatian Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah yang berpandangan, ia sesuai dibaca sekiranya umat Islam ditimpa sebarang bencana seperti serangan musuh, penularan wabak penyakit, kemarau dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, bacaan itu tidak sesuai jika memulakan perlawanan sukan lebih-lebih lagi jika melibatkan pelbagai kaum.