SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf bertujuan merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, ia merupakan lawatan pertama sejak dilantik sebagai pengarah jabatan tersebut yang berkuat kuasa pada 23 Oktober lalu.
Menurutnya, syarikat media seperti Sinar Harian merupakan saluran penting untuk menyampaikan maklumat atau informasi kepada khalayak umum.
"Sinar Harian aktif melaporkan mengenai aktiviti mendidik pengguna dan operasi yang dilaksanakan JPJ.
"Kami juga berbesar hati mengadakan lawatan rasmi ini untuk mengeratkan lagi hubungan,” katanya ketika lawatan tersebut pada Khamis.
Pada masa sama, Azrin turut memuji penganjuran Jualan Gudang Karangkraf 2024 yang memberi manfaat kepada pelajar, guru-guru dan ibu bapa bagi mendapatkan bahan bacaan dengan harga berpatutan.
"Ini merupakan inisiatif sangat baik untuk menggalakan mereka mendekatkan diri dengan buku dan ilmu.
"Saya juga bersetuju untuk mengadakan lagi karnival seperti ini supaya dapat memberi pendedahan dan galakan kepada mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, Sinar Harian akan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tersebut dalam kempen kesedaran lesen MyDigital.
Tambah beliau, ia akan dijalankan dalam masa terdekat bagi memperkasakan lagi kelebihan aplikasi tersebut kepada orang ramai.
"Mereka (JPJ Selangor) mengenal pasti bahawa kita (Sinar Harian) merupakan medium terbaik untuk berhubung dengan kumpulan sasaran dan menjadi bahan rujukan kepada semua lapisan masyarakat dalam negara.
"Walaupun kerjasama ini masih dalam perbincangan, tetapi secara dasarnya mereka bersetuju untuk bekerjasama. Kita akan memperincikan lagi program dan akan menghebahkan kepada umum tidak lama lagi,” jelasnya.