SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor melaksanakan Op Bersepadu sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2024 berkuat kuasa pada 1 Februari.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, pengoperasian tersebut dijalankan selama sebulan sehingga 29 Februari bertujuan memastikan pengguna mematuhi undang-undang jalan raya.
"Menerusi tindakan ini, pihak JPJ akan meningkatkan tahap dan tindakan penguatkuasaan untuk pengguna jalan raya menghormati dan patuh pada Akta Pengangkutan Jalan Raya ditetapkan kerajaan.
"Dalam masa sama, kami juga akan mengadakan program advokasi bagi mendidik pengguna jalan raya,” katanya ketika lawatan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.
Ditanya mengenai tindakan warga asing memandu kenderaan tanpa lesen yang sah di negara ini, beliau berkata, notis saman dan kenderaan akan disita sekiranya pemandu ditangkap.
Ujarnya lagi, pemantauan secara berkala menerusi rondaan akan dilaksanakan dari masa ke masa bagi mengekang isu tersebut.
"Bila kita dah tangkap pemandu tanpa lesen yang sah, kita akan keluarkan notis saman dan kenderaan dipandu itu akan disita.
"Kita sentiasa turun ke lapangan, membuat penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya patuh kepada akta dan kaedah pengangkutan jalan yang berkuat kuasa," katanya.