Kadar baharu tarif air di Perak diketahui awal Mac

Iklan
Kadar baharu tarif air di Perak dijangka diketahui awal bulan Mac.Gambar hiasan/Foto EPA. Gambar kecil: Saarani

IPOH - Kadar baharu tarif air di Perak dijangka diketahui awal bulan Mac.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mesyuarat lembaga pengarah Lembaga Air Perak (LAP) akan diadakan pada 1 Mac depan bagi membincangkan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu kemudiannya akan diangkat ke mesyuarat exco untuk diluluskan sebelum diumumkan secara rasmi.

"Kita perlu bincang dalam mesyuarat tentang rasional jumlah kenaikan itu sama ada menguntungkan atau merugikan dari segi perniagaan, membeban kepada pengguna ataupun tidak, kita akan bahas dalam mesyuarat lembaga.

Iklan

"Selepas bersetuju, kita akan bawa dalam mesyuarat exco dan selepas itu baru kita umum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pemantapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Saarani (dua dari kiri) menyampaikan kit JPKK kepada wakil pengerusi JPKK sempena Kursus Pemantapan Pengerusi JPKK di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi LAP memaklumkan kenaikan kadar tarif air itu tetap akan berlaku namun jumlahnya masih belum diputuskan.

Iklan

Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi jaminan kadar kenaikan tersebut tidak akan membebankan rakyat.

"Paling akhir kita punya kenaikan (kadar tarif air) kalau tak silap tahun 2006. Bermakna kalau kita tak ambil peluang ini, kita kena tunggu bila pula akan diberi kelulusan oleh SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) sebab bukan dibuat tiap-tiap tahun.

"Jadi kita akan amik kesempatan itu sebab kita diberi peluang untuk menaikkannya. Tapi saya pasti ia tidaklah membebankan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.