111 nelayan warga asing ditahan

Iklan
Kesemua warga asing yang ditahan di sekitar Semerak dan Tok Bali.

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 111 nelayan warga asing yang dieprcayai bekerja di negara ini tanpa dokumen atau permit sah selain terlibat gejala penyalahgunaan dadah di Semerak dan Tok Bali, di sini, pada Khamis.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, kesemua mereka yang berusia antara 20-an hingga 60-an ditahan dalam Operasi Bersepadu bermula jam 7 malam Rabu hingga 5 petang Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, operasi dijalankan bersama Jabatan Imigresen Negeri (JIM) Kelantan dan Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Kelantan (AADK) dalam usaha membasmi kehadiran pekerja warganegara asing tanpa izin dan mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti setempat.

"Sejumlah 100 warga asing dari Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada dan bekerja di Malaysia tanpa dokumen atau permit yang sah.

Iklan

"Seramai 11 lagi nelayan terdiri daripada warganegara Thailand dan Kemboja turut ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menyalahgunakan dadah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Khamis.

Beliau mengulas lanjut, operasi dilakukan hasil maklumat Unit Risik Maritim Kelantan yang mendapati terdapat penambahan jumlah mencurigakan dalam kalangan nelayan-nelayan warganegara asing bekerja di bot Zon C dan C2.

Iklan

Katanya, operasi melibatkan seramai 78 pegawai dan anggota penguat kuasa yang tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Operasi tertumpu di kawasan jeti-jeti utama dan bot-bot nelayan jenis pukat tunda serta pukat jerut berlabuh.

"Antara bot nelayan yang diperiksa melibatkan bot Zon C dan C2 yang menggaji pekerja warganegara asing khususnya dari Vietnam, Thailand dan Myanmar,” ujar beliau.

Kesemua suspek ditahan dan diiringi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan sebelum diserahkan kepada JIM dan Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Maritim Negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JIM, AADK atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam membanteras pelanggaran undang-undang serta aktiviti jenayah di negeri ini.

"Operasi seperti ini diharap dapat dilaksanakan lebih banyak pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat sebarang kegiatan jenayah boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-7780070.