PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamed berharap azam tahun baharu yang dibuat bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri tetapi juga untuk menjayakan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2030.
Dalam pertemuan pertama dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi tahun ini, Perdana Menteri berkata, jika semua pihak termasuk jentera kerajaan berusaha bersungguh-sungguh, Malaysia akan berjaya mencapai matlamat untuk berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.
"Saya harap tahun 2020 yang penuh bermakna bagi kita akan menjadi tahun permulaan bagi langkah yang akan membawa kejayaan kepada negara kita, supaya pada tahun 2030 kita akan diiktiraf sebagai negara maju.
"Bagi mencapai matlamat itu Malaysia akan menceburi bidang-bidang canggih supaya negara ini akan dilihat sebagai negara maju yang moden dan boleh bersaing dengan negara maju yang lain," katanya.
Menurutnya, ketika ini bidang teknologi Malaysia sudah mampu mengambil bahagian dan mengeluarkan barangan mereka sendiri.
"Kita hari ini mampu membuat dron umpamanya sesuatu alat yang canggih yang diperlukan untuk pembangunan negara dan kita akan terus melibatkan diri dalam bidang-bidang canggih yang lain," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, barisan Kabinet dan pegawai kerajaan perlu menjalin kerjasama yang erat bagi memastikan segala dasar untuk membangunkan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya.
"Kita perkenalkan dasar baharu iaitu dasar Wawasan Kemakmuran Bersama, kita bukan saja menyatakan wawasan ini tetapi kita harus melaksanakannya.
"Untuk ini banyak kerja perlu dilakukan kedua-dua pihak, kerajaan dipilih oleh rakyat dan jentera kerajaan yang kekal. Kerjasama ini amat penting sekali kalau kita ingin melihat kejayaan negara kita," katanya.
Katanya, semua pihak perlu mengetepikan perasaan peribadi dan menumpukan kepada pembangunan negara.
"Kerajaan akan memperkenalkan cara-cara untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan ia perlu disambut dan diamalkan mereka.
"Memang ada yang tidak mampu, tidak ada kemahiran, tidak ada pengetahuan, tetapi semua ini boleh diatasi kalau kita sanggup belajar untuk membuat sesuatu, bukan saja membuat kerja tetapi cara-cara, sikap kita terhadap tugas-tugas kita," katanya.
Dr Mahathir berkata, Malaysia adalah negara mengamalkan ekonomi terbuka yang membenarkan siapa yang sanggup berusaha untuk menambah pendapatan.
Katanya, golongan kaya juga diperlukan untuk membayar cukai kepada kerajaan yang akhirnya akan digunakan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan serta memajukan negara.
"Yang kaya mestilah berusaha untuk menolong yang miskin sekurang-kurangnya bukan sahaja (melalui) CSR (tanggungjawab sosial korporat) tetapi juga membayar cukai sepenuhnya," katanya. - Bernama