Sistem pendidikan negara perlu diperbaiki

Iklan
Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sekali gus terus berada di kedudukan terburuk dalam tujuh negara Asean. Gambar hiasan

BARU-baru ini tular hantaran di aplikasi X berhubung sekumpulan murid Tingkatan Dua yang memperoleh markah sifar dalam subjek sejarah menerusi ujian penilaian sekolah, sekali gus mencuri perhatian ramai pihak termasuk guru dan ibu bapa.

Menerusi ruangan komen, ramai meluahkan rasa bimbang, malah ada berpendapat pelajar sekolah semakin tidak serius dalam pelajaran.

Iklan
Iklan

Walaupun peperiksaan bukan penanda aras kejayaan seorang pelajar, namun menerusi penilaian di sekolah, kita dapat melihat perkembangan mereka terhadap subjek tersebut.

Ibu bapa berpendapat sistem peperiksaan merupakan kaedah utama dalam menilai prestasi anak-anak.

Iklan

Kewajaran untuk mengembalikan semula peperiksaan berpusat dikatakan tidak menepati piawaian kerana anak-anak masih terikat dengan konsep pembelajaran baca dan hafal tanpa memahami sebarang konsep menyebabkan ia tidak memberi sebarang makna.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) untuk memperkasakan lagi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan dimulakan pada sesi akademik sesi 2022/2023 bagi menggantikan peperiksaan akhir tahun.

Iklan

Pelaksanaan tersebut dibuat selepas pandemik Covid-19 kerana kesukaran untuk melaksanakan peperiksaan berkala di sekolah atas faktor kesihatan dan sebagainya.

Bagaimanapun, Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 menunjukkan prestasi Malaysia berada dalam tangga tercorot.

Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sekali gus terus berada di kedudukan terburuk dalam tujuh negara Asean.

Susulan pandemik Covid-19, skor direkodkan purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik menurun 31 mata, manakala Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018.

Keputusan pentaksiran kali ini turut menyaksikan Malaysia mencatat 52.1 peratus dalam penguasaan minimum Aras 2 hingga tertinggi Aras 6 bagi Literasi Saintifik, manakala Literasi Matematik pula 41.0 peratus dan Literasi Bacaan (41.9).

Rentetan itu, ibu bapa mula meluahkan kebimbangan terhadap kualiti sistem pendidikan negara sehingga terdapat desakan supaya kerajaan mengambil serius terhadap perkara tersebut.

Penulis merupakan generasi pertama yang melalui Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 dan Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) pada 2014 sewaktu menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Semua pelajar perlu beradaptasi dengan kedua-dua sistem pelajaran itu sehingga ada menggelar generasi tersebut sebagai ‘tikus makmal’.

Penulis dapat melihat apabila KBAT diperkenalkan ramai pelajar tidak dapat mencapai standard yang ditetapkan kerana sudah terbiasa menghafal tanpa memahami asas atau konsep silibus.

Pemikiran pelajar menjadi terhad kerana jawapan dan penyelesaian dalam setiap tugasan memerlukan mereka berfikir secara kritis dan kreatif, namun ia masih lagi gagal membentuk pelajar bersifat holistik.

Pelaksanaan PBD menunjukkan perkembangan positif dalam memacu pengetahuan murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan keseimbangan modal insan dari segi rohani mahupun jasmani.

Menerusi sistem tersebut guru-guru dapat mengenal pasti kelemahan dan bersama-sama memperbaiki masalah tersebut secara holistik.

Selain itu, bimbingan yang lebih baik daripada guru dapat membantu mereka lebih cemerlang dalam pelajaran dan menjadikan subjek yang diajar memberi makna untuk diaplikasi dalam kehidupan.

Tidak dinafikan peperiksaan membantu membentuk sasaran yang ingin dicapai dalam setiap ujian, malah ia turut memperkasa disiplin diri sepanjang sesi persekolahan.

Namun, sistem peperiksaan kebangsaan mungkin tidak relevan untuk generasi baharu, justeru KPM perlu mengambil pendekatan holistik bagi memastikan pendidikan negara terus cemerlang.

* Farhana Abd Kadir ialah wartawan meja am Sinar Harian