KEJAYAAN skuad hoki lima sebelah (5s) negara muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia 5s merupakan pencapaian membanggakan dalam edisi pertama kejuaraan tersebut.
Malah, pengendali skuad hoki 5s negara, Wallace Tan percaya pencapaian itu juga satu cabaran kepada anak buahnya untuk tampil lebih konsisten berada dalam kejuaraan edisi seterusnya selepas ini.
"Pemain-pemain perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi diri kerana pasukan negara lain semakin kuat.
"Cabaran dan tentangan hebat negara lain bukan hanya dari nama besar dalam hoki seperti Belanda, India, Pakistan dan Australia tetapi juga dari negara lain seperti Oman, Poland, Mesir, Trinidad & Tobago, Amerika Syarikat dan lain-lain.
"Ini kerana cara permainan ini memberi peluang terbuka kepada mana-mana negara untuk tampil lebih baik edisi seterusnya,” katanya yang percaya pencapaian itu akan menjadi dos penggalak kepada pemain-pemain untuk berusaha lebih gigih untuk menyarung jersi negara pada masa depan.
Skuad hoki negara muncul naib juara Piala Dunia 5s setelah tewas 2-5 kepada Belanda dalam perlawanan akhir selepas menampilkan tentangan sengit hingga minit akhir perlawanan di Muscat, Oman pada Khamis
Skuad Wallace yang melepasi sasaran suku akhir ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kejuaraan itu terlebih dulu ketinggalan 1-3 separuh masa pertama kembali bangkit menyaingi lawan sebelum akur kelebihan milik pasukan lawan penghujung perlawanan.
Dua gol Malaysia pula dijelmakan kapten pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-2) dan Muhammad Firdaus Omar (m-16).
Tambah manis, Akhimullah yang meledak 10 gol sepanjang kejuaraan tersebut hampir menambah gol peribadi kedua perlawanan dipilih pemain terbaik.
Dalam masa sama, Wallace berterima kasih kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal yang sentiasa memberi sokongan kepada perkembangan cabang terbaharu hoki tersebut.
"Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Subahan yang sentiasa menyokong pasukan hoki lima sebelah negara.
"Terima kasih juga kerana memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan pasukan pada tahun 2018 dan sekarang.
"Motivasi daripada Datuk Seri Subahan kepada pemain-pemain sebelum bertolak ke Oman juga menjadi pencetus keyakinan diri kepada mereka untuk beraksi dengan baik di Piala Dunia,” katanya.
INFO
Hoki Piala Dunia 5s 2024
Pemenang Pingat Emas:
Belanda
Pemenang Pingat Perak:
Malaysia
Pemenang Pingat Gangsa:
Oman
Juara Trofi Cabaran:
Pakistan
Naib Juara Trofi Cabaran:
Switzerland
Penjaga Gol Terbaik:
Joey van Walstijn (Belanda)
Pemain Muda Terbaik:
Hannan Shahid (Pakistan)
Penjaring Terbanyak (23):
Waheed Ashraf Rana (Pakistan)
Pemain Terbaik:
Akhimullah Anuar (Malaysia)