KEMUNCAK daripada kekecewaannya dengan sikap Presiden Joko Widodo (Jokowi), seorang aktivis politik, John Muhammad melancarkan kempen ‘Salam 4 Jari’. Beliau menggunakan akaun X (Twitter) untuk melancarkan gerakan itu.
Secara mudah, apa yang beliau mahukan adalah pengundi dalam pilihan raya presiden (pilpres) 2024 kelak memilih mana-mana pasangan calon (paslon) asalkan bukan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka.
Beliau berpendapat calon presiden (capres), Prabowo dan calon wakil presiden (cawapres), Gibran ‘tidak layak dipilih dan harus dihindari’.
Beliau berkata:"Saya mewakili kelompok orang yang tidak menginginkan 02 (paslon Prabowo-Gibran) menang.” Gerakan ini juga dilabelkan sebagai ‘Ekspresi Pilihan Bukan Prabowo-Gibran’.
Gerakan ini mendapat perhatian luar biasa khususnya dari kalangan netizen. Bagi sesetengah penganalisis politik, ia tidak lebih daripada satu lagi kempen negatif yang menolak Prabowo-Gibran.
Ada juga yang menganggap bahawa dalam pilpres yang sedemikian sengit, gerakan ini bakal menjadi game-changer.
Hanya tinggal dua minggu sebelum pilpres 2024 pada 14 Februari ini.
Kempen ketiga-tiga pasangan calon, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo-Gibran dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD semakin rancak.
Berdasarkan Pasal 416 Undang-Undang 7 Pemilu Tahun 2017, untuk mana-mana paslon layak menjadi presiden dan wakil presiden harus mendapat undi lebih 50 peratus dari seluruh undian.
Undang-undang itu juga menyebutkan mereka harus mendapat paling kurang 20 peratus undian dari setiap provinsi.
Dalam konteks pertandingan kali ini, banyak yang berpendapat tidak mungkin ada paslon yang akan melepasi 50 peratus. Sekiranya itu berlaku, dua paslon yang mendapat jumlah undian tertinggi akan bertarung sekali lagi dalam pusingan kedua.
Hal ini pernah berlaku sebelum ini. Dalam pilpres tahun 2004, lima paslon bertanding. Dua paslon yang memperoleh undi tertinggi dalam pusingan pertama bertarung dalam pusingan kedua.
Dalam pusingan kedua, paslon Susilo Bambang Yudhoyono (SBY)-Yusuf Kala mendapat 60.6 peratus undi mengalahkan penyandang ketika itu, Megawati Sukarnoputeri-Hashim Muzadi.
Pasukan Prabowo yakin mereka boleh menang dalam pusingan pertama. Malah berdasarkan satu tinjauan (survey) terbaru menunjukkan bahawa undi untuk Prabowo-Gibran mencecah angka keramat 50.7 peratus. Namun demikian banyak pihak tidak meyakini tinjauan itu.
Banyak pihak yang mengatakan tinjauan itu tidak mencerminkan keadaan sebenar di lapangan. Berdasarkan imej dan visual di televisyen serta media sosial, lautan manusia membanjiri kempen politik Anies-Muhaimin dan Ganjar-Mahfud MD di mana-mana mereka berada.
Tetapi kehadiran banyak orang di tempat berkempen belum tentu boleh diterjemahkan dalam bentuk undian.
Kita di Malaysia menyaksikan bagaimana pada zaman Barisan Nasional (BN) memerintah kempen parti lawan dibanjiri pengunjung. Namun demikian hanya dengan kes 1MDB dan skandal lainnya, rakyat benar-benar bertukar haluan pada tahun 2018.
Memang pilpres kali ini agak luar biasa. Presiden yang selama ini didukung oleh Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) tidak menyokong calon parti itu, Ganjar-Mahfud MD.
Sebaliknya, beliau menyokong Prabowo yang membawa anaknya sendiri sebagai cawapres.
Sebelum ini, Jokowi dalam banyak keadaan menyatakan bahawa beliau akan kekal neutral atau tidak memihak. Tetapi hal itu berubah akhir-akhir ini.
Baru-baru ini, beliau secara terbuka mengatakan bahawa Presiden boleh turut berkempen. Malah kerajaannya terang-terang menggunakan bansos (bantuan sosial) untuk rakyat sebagai alat memenangkan Prabowo-Gibran.
Sikap Jokowi mendapat kecaman banyak pihak. Sudah tentulah beliau berpendapat bahawa sokongannya boleh membantu paslon tertentu. Beliau seorang presiden yang masih popular.
Penerimaan rakyat berdasarkan approval rating beliau masih melebihi 70 peratus. Maka itu Prabowo-Gibran dikatakan akan mendapat untung dengan sokongan terbuka Jokowi.
Cakap-cakap tentang pembinaan Dinasti Jokowi semakin hebat dibahaskan. Banyak yang berpendapat ada kepentingan yang harus dipertahankannya. Di antaranya adalah pembinaan ibu kota negara (IKN) di Kalimantan yang tidak mahu diteruskan oleh Anies sekiranya beliau menang.
Perihal anaknya, Gibran boleh melepasi peraturan Mahkamah Konstitusi (MK) walaupun usianya belum 40 tahun adalah satu contoh yang ketara. Akibat tidak puas hati dengan keputusan MK maka telah ditubuhkan Majlis Kehormat Mahkamah Konstitusi (MKMK).
MKMK menganggap berlaku"pelanggaran etika” dalam kes membenarkan Gibran bertanding lalu memecat Ketua Hakim MK yang merupakan adik ipar Jokowi. Namun begitu MKMK tidak ada pilihan melainkan mengekalkan keputusan MK tentang batas usia.
Pasukan Anies khususnya mendapat banyak sekali tekanan. Salah satu kempen berkesan yang dilaksanakannya adalah ‘Desak Anies’ di mana beliau mendengar dan menjawab soalan mahasiswa dan rakyat.
Banyak kali programnya terpaksa dipindahkan disebabkan pihak berkuasa menarik balik persetujuan. Anies juga menghadapi tekanan disebabkan banyak konglomerat besar di Indonesia memihak pada Prabowo.
Tidak hairanlah jikalau Anies menekankan pentingnya undang-undang pembiayaan politik.
Persoalannya apakah paslon Anies-Muhaimin dan Ganjar-Mahfud MD akan mendapat manfaat dari gerakan ‘Salam 4 Jari’ ini? Ada yang berpendapat, gerakan ini pasti akan memberi tekanan kepada paslon Prabowo-Gibran.
Malah sebelum ini pun ada disuarakan tentang perlunya ada persefahaman paslon urut 1 (Anies-Muhaimin) dan paslon urut 3 (Ganjar-Mahfud MD) bagi menghadapi paslon urut 2 (Prabowo-Gibran).
Tetapi persefahaman itu tidak berlaku. Ganjar sendiri seperti tidak meyakini gerakan ini akan menguntungkannya. Anies sekadar mengatakan ia satu gerakan yang menekankan soal perubahan yang menjadi mantra kempennya.
Menurut pengasas gerakan ini, beliau mendapat ilham daripada gerakan parti-parti yang bersatu melawan Presiden Brazil yang merupakan incumbent ketika itu, Jair Bolsonaro.
Gerakan itu berjaya dan menempatkan Luiz Inacio Lula da Silva kali ketiga sebagai presiden Brazil walaupun usianya sudah 77 tahun.
Dalam pilpres 2019, Prabowo yang ketika itu melawan Jokowi untuk kali kedua menggunakan slogan #GantiPresiden.
Sewaktu Anies sendiri menentang Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) pada tahun 2017 untuk menjadi Gabenur Jakarta, beliau menggunakan #AsalBukanAhok.
Namun demikian pengaruh media sosial pada tahun 2017 dan 2019 berbeza kesan dan impaknya dengan sekarang.
Persoalannya, apakah gerakan massa itu ada kesannya kepada keputusan pada 14 Februari ini?
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mengikuti dengan penuh minat pilihan raya presiden (pilpres) Indonesia 2024.