SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memerlukan syarikat pemula yang boleh membangunkan aplikasi dan peranti bagi membantu ibu bapa memantau anak mereka secara digital serta fizikal seperti dalam kenderaan atau di pusat jagaan.
Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan Selangor, Anfaal Saari berkata, aplikasi itu penting bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak tertinggal dalam kereta hingga meninggal dunia terus berulang.
"Dalam situasi ini, saya fikir sangat baik jika ada intervensi pintar menerusi inovasi teknologi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Anfaal memberitahu, kerajaan negeri negeri juga bercadang melaksanakan 'Kempen Keluarga Selamat Selangor' dalam waktu terdekat.
Beliau memberitahu, kempen itu diharap dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa dan anggota masyarakat tentang keselamatan kanak-kanak.
"Saya mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan kempen ini terutama badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri," kata beliau.
Selain itu, katanya, usaha lain dilakukan antaranya bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor untuk laksanakan kempen kesedaran keselamatan digital kanak-kanak memandangkan mereka terdedah kepada bahaya internet dan media sosial seperti antun seksual.
Dalam pada itu, Anfaal turut merakam ucapan takziah kepada keluarga keluarga kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia apabila ditemukan tidak sedarkan diri selepas tertinggal dalam kereta kira-kira empat jam di kawasan parkir sebuah hospital di sini pada Selasa.
"Sebagai seorang ibu, saya amat dukacita membaca berita ini.
"Kes ini memberi amaran ‘red flag’ kepada kita terutama kepada saya sebagai pembuat dasar kerana isu yang sama telah berlaku berulang kali," ujar beliau.