SEMALAM negara kembali gempar dengan insiden kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut tertinggal dalam kereta kira-kira empat jam di kawasan parkir sebuah hospital di Shah Alam
Kejadian yang dinamakan sebagai ‘sindrom terlupa anak’ itu bukan pertama kali malah sudah sering dilaporkan, namun tetap berulang dan tidak mustahil boleh terjadi lagi.
Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira status, pekerjaan atau keadaan kerana sekiranya terleka beberapa saat, mampu meragut nyawa anak.
Melihat kepada perkembangan kes tertinggal anak pada tahun lalu sehingga kini, kebanyakannya berusia lingkungan lapan bulan hingga lima tahun.
Situasi tanpa dijangka tersebut cenderung dialami oleh kaum wanita khususnya ibu yang tidak ‘menang tangan’ menguruskan kerja dan perihal anak-anak dalam satu masa.
Namun, siapa mampu menduga ujian daripada ALLAH SWT apabila kebolehan ‘multitasking’ yang ada pada golongan ibu mampu berubah menjadi insiden buruk dan meninggalkan trauma sepanjang hayat.
Sudahlah mengalami trauma, diuji pula dengan sabitan kes di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana didakwa cuai dan mengabaikan anak.
Justeru, apakah tindakan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan perkara tersebut berulang kembali?
Ada beberapa perkara atau saranan boleh dipertimbangkan sebagai rutin untuk mengelakkan insiden tertinggal anak.
Antaranya adalah toleh belakang terlebih dahulu sebelum keluar daripada kenderaan kerana rutin sebegitu berupaya memberi isyarat kepada ibu bapa agar sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.
Selain itu, letakkan kasut, beg tangan atau telefon bimbit bersebelahan dengan tempat duduk kanak-kanak di belakang kerana ia wajib digunakan dalam rutin harian dan tidak mungkin terlupa.
Ibu bapa juga dinasihatkan menampal stiker peringatan di bahagian cermin tingkap sisi atau belakang kereta agar ia sentiasa tersemat di dalam ingatan berulang kali walaupun fikiran sedang bercelaru ketika itu.
Peranan pengawal keselamatan di sesuatu kawasan yang meninjau setiap kereta juga penting, namun jangan menganggap ia kelakuan aneh sebaliknya kekal positif dan beranggapan mereka hanya mahu membantu.
Apa pun, diharapkan peristiwa sebegini mampu menjadi pengajaran dan peringatan buat ibu bapa di luar sana agar sentiasa peka serta memantau setiap pergerakan anak-anak.
Masyarakat semestinya tidak mahu lagi mendengar kejadian sama dilaporkan berulang kali sehingga mampu menyumbang kepada peningkatan kes dalam tempoh satu tahun.
Warganet juga diingatkan supaya menjaga lisan, tidak melampiaskan amarah, kata-kata kesat atau meletakkan 100 peratus kesalahan terhadap ibu bapa mangsa kerana ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.