SHAH ALAM - Pasangan pelancong dari United Kingdom yang disaman anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju mengesahkan mereka telah berkomunikasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi hantaran di aplikasi X yang menggunakan nama threadtheglobe, kedua-dua pasangan itu mendedahkan, bukti berhubung kejadian tersebut telah diberikan kepada pihak polis.
"Berikutan video terakhir, kami telah berkomunikasi dengan polis dan memberikan mereka rakaman video, tarikh, masa dan lokasi kejadian yang tidak diedit.
"Mereka memohon maaf dan sedang menyiasat kejadian ini," katanya pada Jumaat.
Baru- baru ini, tular satu video di YouTube ‘THREAD the globe’ yang memaparkan seorang anggota polis trafik Malaysia meminta dan mengambil rasuah RM100 daripada pasangan berkenaan.
Dalam video itu, seorang anggota polis trafik memberitahu pasangan berkenaan bahawa van tersebut dipandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada jam 11.30 pagi.
"Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya.
"Jika bayar di balai, RM300. Bayar sekarang, RM100,” kata anggota polis trafik terbabit.