Agungnya syariat solat

Iklan
NABI Muhammad SAW diperjalankan dari Makkah ke Baitul Maqdis, Palestin sebelum naik ke langit dan pulang semula ke Makkah pada malam yang sama. - foto Freepik

Rasulullah SAW menerima perintah secara langsung, bukan melalui Jibril AS sebagai penyampai wahyu

KISAH Israk dan Mikraj sering mendapat tempat di hati para ilmuwan dan pendakwah Islam untuk dikongsi kepada masyarakat apabila dekatnya dengan tanggal 27 Rejab setiap tahun.

Bagaimana mungkin mereka melupakan satu peristiwa yang sangat agung di dalam sirah Islam ini memandangkan pelbagai kejadian yang berlaku adalah di luar kotak pemikiran manusia.

Iklan
Iklan

Dalam peristiwa tersebut, ia mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat Arab Quraisy ketika itu. Ada yang terus yakin dan percaya dengan kata-kata Nabi Muhammad SAW itu.

Namun ramai dalam kalangan mereka tidak mempercayainya malah mentertawakan Baginda SAW selain mengejek dan memperlekehkannya.

Iklan

Mengapa masyarakat Quraisy ketika itu menganggap peristiwa Israk dan Mikraj suatu cerita yang direka-reka?

Mengulas mengenai kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam Israk dan Mikraj itu, Ketua Imam Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Ustaz Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir menjelaskan, Israk dan Mikraj merupakan satu peristiwa agung yang menuntut tahap keimanan tinggi oleh setiap Muslim. Ia membuktikan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT yang menjangkaui batasan logik akal manusia.

Iklan

USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN

"Perjalanan dari Makkah ke Baitul Maqdis di Palestin merupakan satu perjalanan yang jauh dan memakan masa yang panjang.

"Mengikut perkiraan, seseorang itu perlu mengambil masa sehingga sebulan untuk pergi ke Baitul Maqdis dengan menaiki unta dari Makkah dan sebulan lagi diperlukan untuk perjalanan pulang.

Daripada 50 waktu kepada lima sahaja

Menurut Ahmad Fakhruddin yang juga Pegawai di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, satu lagi peristiwa yang amat penting untuk dikongsikan kepada umat Islam adalah mengenai tuntutan 50 waktu solat yang diterima oleh Rasulullah SAW.

"Ketika berjumpa dengan Nabi Musa AS, Baginda SAW memberitahu mengenai perintah ALLAH SWT supaya mendirikan solat selama 50 waktu.

"Perkara ini mendapat reaksi daripada Nabi Musa AS lantas baginda menyatakan umat Nabi Muhammad SAW tidak akan mampu melaksanakan perintah tersebut," katanya.

PERISTIWA Nabi Muhammad SAW ulang-alik antara Makkah dan Baitul Maqdis hanya dalam tempoh separuh malam dianggap sebagai 'mencarik adat' dan sukar diterima logik akal masyarakat Arab Quraisy. - foto Freepik

Maka berulang kalilah Nabi Muhammad SAW memohon kepada ALLAH SWT agar dikurangkan waktu solat daripada 50 waktu kepada 40, kemudian 30, 20 dan sepuluh waktu hingga akhirnya hanya lima waktu solat ditetapkan.

"Setelah dikurangkan kepada lima waktu solat, Nabi Musa AS sekali lagi memohon Nabi Muhammad SAW merayu kepada ALLAH SWT agar dikurangkan lagi kerana bimbang umat Baginda tidak mampu melakukannya.

"Akhirnya seperti yang diceritakan dalam hadis yang panjang, Nabi Muhammad SAW memberitahu Nabi Musa AS bahawa Baginda SAW sudah malu untuk berbuat demikian (memohon dikurangkan lagi waktu solat)," katanya.

Katanya, jika tiada pengurangan waktu dari ALLAH SWT ketika itu, umat Islam kini perlu mendirikan solat setiap 29 minit dan itu sudah pasti menyukarkan.

Bagi Ahmad Fakhruddin, permintaan mengurangkan waktu solat itu bukan menunjukkan kelemahan Nabi Muhammad SAW, namun perkara itu memberi gambaran bahawa sifat belas ihsan dan cintanya Baginda kepada umatnya.

"Satu lagi pengajaran yang boleh diambil melalui kisah ini, ia menunjukkan sifat Rahman (kasih) dan Rahim (sayang) ALLAH SWT menerima permintaan Nabi Muhammad SAW sekali gus tidak mahu menyusahkan hamba-Nya dengan bilangan waktu solat yang banyak," jelasnya.

Ibadah agung kepada hamba-NYA

Menjawab persoalan mengapa Nabi Muhammad SAW perlu naik ke langit untuk menerima pensyariatan solat, Ahmad Fakhruddin menjelaskan, ia menunjukkan bahawa solat adalah satu ibadah yang sangat besar.

IBADAH solat pada awalnya diperintahkan kepada umat Islam sebanyak 50 waktu sebelum dikurangkan kepada hanya lima waktu seperti sekarang. - foto Freepik

Bahkan katanya, ALLAH SWT boleh sahaja menyampaikan perintah wajib solat itu melalui malaikat Jibril AS seperti ibadah-ibadah yang lain.

"Sebagai contoh, jika seorang sultan atau raja mahu memberikan suatu penghargaan kepada rakyat, dan raja sendiri yang menyerahkannya, ia memberi gambaran bahawa hadiah tersebut merupakan suatu yang istimewa.

Ahmad Fakhruddin menjelaskan lagi, tiga kepentingan menjaga ibadah solat iaitu:

1. Solat sebagai tiang agama. Meninggalkan solat akan meruntuhkan agama.

2. Solat sebagai penghulu segala ibadah kerana ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat.

3. Solat wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan - walaupun dalam keadaan sakit, dibolehkan untuk solat secara duduk, berbaring, mengiring atau hanya dengan kerdipan mata, walaupun dalam musafir, boleh dijamak dan diqasar (dipendekkan). Malah walau dalam apa jua keadaan hatta di dalam perang sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan.