PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi pilihan kelab popular Brazil, Santos Futebol Clube (Santos FC) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Darul Aman pada 17 Februari depan.
Kelab berpangkalan di Santos dan bertanding pada saingan Divisyen Dua Campeonato Brasileiro berkata, KDA FC di Malaysia dan Qatar menjadi pilihan dalam lawatan pertama Santos FC ke negara Asia.
Sebelum ke Alor Setar, skuad kendalian Fabio Carille itu akan terbang ke Doha, Qatar untuk menyertai perlawanan Equality Cup membabitkan pasukan Zenit dari Rusia, Shanghai Shenhua dari China dan pasukan tuan rumah, Al Duhail bermula 4 Februari hingga 13 Februari.
Santos FC merupakan kelab yang menampilkan legenda bola sepak dunia, mendiang Pele sebagai pemain utama pada tahun 1956 hingga 1974.
Kelab itu juga merupakan platform kepada bintang bola sepak, Neymar Jr untuk mengembangkan bakatnya sebelum khidmatnya disambar kelab-kelab dunia seperti Barcelona, Paris Saint German dan terbaharu bersama kelab Arab Saudi, Al Hilal FC.
Pada musim 2023, Santos FC sekadar berada di kedudukan ke-17 Serie A Brazil dengan mencatatkan 11 kemenangan daripada 38 perlawanan keseluruhan.
Kelab yang dibarisi beberapa pemain tumpuan seperti kapten pasukan, Joao Paulo, Joao Schmidt dan Willian itu bakal diuji KDA FC kendalian Nafuzi Zain yang mengakhiri saingan Liga Super 2023 di tangga keempat.