SABAN hari isu perbezaan pendapat mengenai agama Islam dalam kalangan umatnya hangat diperkatakan.
Lebih-lebih lagi zaman sekarang, zaman teknologi di hujung jari yang memudahkan lagi orang ramai terutamanya warganet untuk menyuarakan pendapat dan mengutarakan hujah masing-masing.
Ada baiknya isu berbeza pandangan ini, ia boleh membuatkan kita lebih banyak berfikir mengenai sesuatu isu yang ditimbulkan secara rasional selain dapat berkongsi-kongsi ilmu pengetahuan.
Bagaimanapun sisi negatifnya tetap ada apabila terdapat segelintir kita bermain emosi, tidak berlapang dada dalam masalah khilaf dan bersikap ekstrem apabila pandangannya tidak diterima ramai.
Dalam sudut ilmu Fiqh, berbeza pendapat dalam ibadah itu perkara biasa malah itulah yang menjadikan lahirnya empat mazhab besar seperti mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.
Bagaimanapun dalam aspek akidah, berbeza pendapat ada kalanya boleh menyimpang jauh hingga menyebabkan pegangan seorang Muslim itu terpesong, malah lebih membimbangkan lagi ia boleh tersesat daripada ajaran yang sebenar.
Dalam hal ini, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dalam teks khutbah Jumaat yang diterbitkan melalui laman sesawangnya, mengupas mengenai akidah yang menjadi pegangan di negeri tersebut dan di seluruh negara amnya iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kupasan tersebut disediakan agar umat Islam sentiasa berpegang teguh sekali gus tidak tergelincir dalam pegangan akidah mereka.
"Rasulullah SAW mengajar umatnya dengan pegangan agama Islam yang merangkumi tiga perkara utama iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Ketiga-tiga ini merupakan pegangan yang penting dalam agama kerana dengannya manusia akan memperoleh kesempurnaan hidup.
Tambahnya, para ulama seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Imam Ibnu Hajar dan kebanyakan ulama pada zaman awal dan pertengahan Islam, sebahagian besar mereka beraliran dengan akidah Asyairah.
Susunan ilmu bertepatan al-Quran dan sunnah
Tegasnya lagi, pengasas akidah Asyairah, Imam Abu Hassan Al-Asy'ari bukanlah mencipta akidah yang baru. Bahkan beliaulah yang bertanggungjawab menyusun ilmu akidah secara lengkap yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana Imam Syafie yang berperanan menyusun ilmu Fiqh untuk memudahkan umat Islam mengamalkannya.
"Ilmu-ilmu akidah yang disusun Abu Hassan Al-Asy'ari dikaji dengan mendalam dan dijadikan panduan oleh para ulama bidang akidah dan menjadi pegangan cerdik pandai serta ulama-ulama besar dalam sejarah Islam.
"Imam Az-Zabidi di dalam kitabnya, Ittihafus Sa'adatul Muttaqin menyatakan, apabila disebut Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka ia merujuk kepada aliran Asyairah dan Maturidiyyah," katanya.
Menurutnya, hasil daripada usaha tersebut telah memberikan manfaat yang besar kepada umat islam.
Fahaman sederhana, tidak melampau
"Sejak aliran ini muncul, ia telah berjaya menangkis pengaruh aliran Muktazilah, Syiah, Qadariyyah, Jabariyyah dan telah berjaya membetulkan fahaman-fahaman ahli falsafah yang tersasar daripada landasan lurus.
"Oleh sebab itu, aliran ini menjadi rujukan utama para ulama Islam dan menjadi pegangan yang kuat sehinggalah ke hari ini.
"Salah satu daripada keistimewaan pegangan akidah ini adalah ia cenderung kepada fahaman yang sederhana dan tidak melampau, tetapi juga tidak terlalu longgar. Ia telah menjamin keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam menjalani kehidupan bermasyarakat," katanya.
"Malah pegangan ini menolak sekeras-kerasnya golongan yang mudah mengharuskan pembunuhan saudara Muslimin yang lain kerana faktor berbeza pandangan.
"Sikap inilah yang menjadikan pegangan ini diterima ramai dan kekal menjadi pegangan yang kuat di seluruh dunia," jelasnya.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor turut menyeru agar umat Islam memperkukuhkan pegangan akidah berlandaskan aliran Asyairah dan Maturidiyyah serta menegaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini merupakan ajaran yang lurus, tepat, selamat, jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya.
*Teks khutbah Jumaat disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan diterbitkan melalui laman rasmi jabatan berkenaan.