KUANTAN - Seramai 900 anggota polis ditugaskan pada Karnival Rakyat Pahang di sini bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Karnival selama tiga hari itu diadakan sempena memuliakan keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebagai jawatankuasa keselamatan dan lalu lintas, pihaknya telah membuat perancangan dan persiapan sewajarnya bagi melancarkan perjalanan karnival tersebut termasuk pada malam kemuncak, Sabtu ini.
Menurutnya, dijangkakan lebih 50,000 pengunjung akan hadir memeriahkan karnival pada malam tersebut.
"Antara acara yang menarik pada malam kemuncak termasuk perarakan 28 kereta berhias disertai pelbagai agensi kerajaan, anak syarikat kerajaan (GLC) dan syarikat swasta, persembahan kebudayaan, kesenian dan artis jemputan serta pertunjukan bunga api.
"Justeru, aspek keselamatan pengunjung dan kelancaran lalu lintas menjadi keutamaan dalam penugasan pegawai dan anggota polis terlibat," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.
Yahaya berkata, Jalan Tanjung Lumpur dari Serambi Teruntum ke persimpangan lampu isyarat Teluk Sisek akan ditutup bermula jam 7 petang hingga 10 malam pada Sabtu bagi memberi laluan untuk perarakan kereta berhias.
"Turut terlibat, Jalan Teluk Sisek ke Jalan Besar dan Jalan Tanah Putih hingga ke lampu isyarat berhampiran bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Justeru, kenderaan dari Jalan Teluk Cempedak dan Jalan Beserah akan dilencongkan ke Jalan Gambut manakala kenderaan dari arah Gambang dilencongkan ke Jalan Dato Wong AH Jang," katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Dato Wong Ah Jang, Jalan Pintasan Kuantan dan Jalan Tanjung Lumpur-Jambatan Putra sepanjang tempoh penutupan laluan tersebut.
"Orang ramai yang datang ke karnival ini boleh meletakkan kenderaan di tempat letak kereta awam Medan Warisan, kawasan lapang sebelah pasar raya Giant, parkir awam Taman Esplanade, parkir awam Kompleks Teruntum dan Kuantan Parade, parkir awam sepanjang jalan Mahkota dan Jalan Besar di sini," katanya.
Yahaya berkata, pengunjung dinasihatkan agar memberi kerjasama dan mematuhi arahan petugas keselamatan dan lalu lintas yang bertugas.
"Rancang perjalanan dan rujuk perancangan lalu lintas yang disediakan bagi mengelak kesesakan," katanya.