JERANTUT-"Anak bongsu saya masih trauma hingga kini selepas kebakaran tersebut," kata seorang tukang masak sekolah, Sarina Abdul Ghani, 46, selepas rumahnya di Kampung Lentun dekat Ulu Tembeling di sini hangus dalam kejadian pada Isnin lalu.
Ketika kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, Mohd Fazrin Adam,14, sedang tidur sebelum tersedar kerana terasa lemas akibat terhidu bau asap.
Menurutnya, pada hari kejadian, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak pulang ke asrama kerana kurang sihat akibat demam manakala dia berada di tempat kerja di dewan makan Sekolah Kebangsaan(SK) Kampung Pagi.
"Anak tersedar dan lihat api sudah marak di ruang tamu dan berjaya keluar menyelamatkan diri dengan memanjat zink bilik dan mukanya juga hangus akibat kejadian tersebut.
"Dia (Fazrin) tak dapat selamatkan apa-apa pun peralatan, pakaian sekolah semua musnah," katanya.
Jelas Sarina yang juga ibu tunggal, Fazrin kini lebih banyak berdiam diri dan mungkin masih terkejut akibat kejadian terbabit.
"Itu pun bila sampai di rumah, saya pengsan sekejap kerana sedih melihat keadaan rumah yang musnah terbakar," jelasnya.
Tambahnya, ibu saudara serta anak saudaranya, Siti Nasilah Ehsan, 21, turut tinggal bersamanya, namun pada hari kejadian mereka tidur di rumah sebelah manakala tiga lagi anaknya bekerja dan tinggal di tempat lain.
Bagaimanapun, Sarina tetap bersyukur kerana anaknya selamat serta reda walaupun sedih dengan kejadian yang menyebabkan dia sekeluarga kini hilang tempat tinggal.
Jelasnya, buat sementara waktu keluarganya kini menumpang di rumah ibunya yang terletak berhampiran dan mengharapkan keluarganya dapat memiliki kediaman semula.
Dalam pada itu, Sarina turut berharap nasibnya sekeluarga mendapat perhatian sewajarnya.
"Akibat kejadian ini, saya kehilangan rumah yang dibina dengan harga RM50,000 beberapa tahun lalu dalam tempoh sekelip mata.
"Dengan pendapatan sebagai tukang masak, memang saya tak mampu nak bina semula, tambahan pula bulan puasa tak lama lagi," ujarnya.
Mereka yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun CIMB (7634317465) atas nama Sarina Abdul Ghani.