SHAH ALAM -"Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan," tulis ibu kepada kanak-kanak autisme yang maut dibunuh, Zayn Rayyan setelah menghadiri Majlis Konvokesyen Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2, Kuala Lumpur pada Khamis.
Ismanira Abdul Manaf, 29, berkongsi hantaran di Facebook miliknya dengan turut memaparkan gambar suntingan bersama anaknya sebagai tanda kenangan.
Menerusi perkongsian gambar trofi yang dikongsikan, Allahyarham Zayn menerima Anugerah Peningkatan Terbaik Dalam Kelas Prasekolah Sesi 2023/2024.
"Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai 2 di atas jemputan ke Majlis Konvokesyen semalam, ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga.
"Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan Abang macam ibu bapa yang lain, mommy dapat edit macam ni je," katanya pada Jumaat.
Pada majlis itu, Ismanira turut hadir bersama suami dan anak keduanya.
Dalam pada itu, menerusi hantaran di Instagram Story, Ismanira membayangkan Zyan yang dipanggil abang itu pasti gembira kerana mendapat banyak hadiah pada majlis tersebut.
Hantaran berkenaan mengundang sebak pengikutnya yang turut sama merasai kesedihan atas nasib malang yang menimpa kanak-kanak tersebut.
Zayn Rayyan disahkan dibunuh susulan penemuan mayatnya di anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Kuala Lumpur, 6 Disember lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan siasatan kes ini sudah melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.