Pelajar Tingkatan Enam maut motosikal rempuh lembu

Iklan
Keadaan lembu mati selepas terlibat kemalangan. Foto IPD Kota Tinggi.

KOTA TINGGI - Seorang pelajar Tingkatan Enam maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar dengan seekor lembu di kilometer (KM) 11.5 Jalan Sungai Sayung - Bandar Tenggara, pada lewat malam Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan sekitar jam 10.10 malam Khamis.

Iklan
Iklan

"Kemalangan ini melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun telah melanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan.

"Akibatnya, penunggang motosikal berkenaan telah mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Mayat mangsa kemudiannya telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Iklan

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun termasuk denda RM20,000 hingga RM50,000 selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun," katanya.