EL Nino: Cake saran pengguna minimumkan guna air

Iklan
Laporan Sinar Harian (kiri), Mohamad Yusrizal

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyarankan pengguna meminimumkan penggunaan air di kediaman masing-masing berikutan gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan di Pulau Langkawi.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, gangguan bekalan air di pulau itu berpunca daripada ketidakcukupan sumber air mentah untuk diproses berikutan fenomena El Nino yang sedang melanda negara khususnya di bahagian utara Semenanjung.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada pengguna di kawasan seperti Kuah dan Temoyong berhubung masalah bekalan air itu.

"Ada pada waktu-waktu tertentu sahaja ada bekalan air tetapi ada waktu lain tiada bekalan air diterima mereka.

Iklan

"Bekalan air agak meruncing disebabkan El Nino iaitu kemarau berpanjangan yang melanda Langkawi dan seluruh negeri menyebabkan kekurangan sumber air di Langkawi (kerana) sumber airnya terhad," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, populasi Pulau Langkawi juga agak tinggi terutamanya dengan kemasukan pelancong-pelancong ke pulau peranginan itu.

Iklan

"Jadi, nasihat Cake kepada penduduk Langkawi dan juga pelancong di Langkawi agar meminimumkan penggunaan air disebabkan sekarang musim kemarau dan paras air di Sungai Melaka agak berkurangan," katanya.

Mohamad Yusrizal berkata, difahamkan pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah melakukan kerja-kerja menghantar bekalan air alternatif kepada pengguna-pengguna supaya bekalan mencukupi bagi keselesaan pengguna dan juga pelancong.

"Untuk pelancong-pelancong yang ingin melawat ke Langkawi diharap bersedia dengan kekurangan bekalan air," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, operator berkaitan diharap dapat menyelesaikan masalah paip air di bawah laut segera untuk menyalurkan bekalan kepada pengguna makin meningkat di Langkawi dan kawasan lain.

"Jadi, kita (juga) harap supaya dengan kenaikan tarif air (maka) pengguna akan dapat perkhidmatan yang lebih baik,"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan di Pulau Langkawi seperti Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Cenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.