SHAH ALAM - Orang ramai berpeluang 'memborong' pelbagai jenis buku dengan harga murah dan berpatutan di Jualan Gudang Karangkraf 2024 yang kini memasuki hari kesembilan.
Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, harga yang ditawarkan adalah RM 20 untuk lima buku pelbagai tajuk antaranya novel, buku umum, keagamaan dan resepi.
Katanya, terdapat juga barang-barang lain yang boleh didapati oleh pengunjung seperti al-Quran, sejadah dan sebagainya.
"Buku yang ditawarkan sangat murah iaitu lima buku dengan harga hanya RM20.
"Jadi, mereka perlu datang ke Jualan Gudang ini, jangan lepaskan peluang yang ada.
"Dengan harga yang ditawarkan itu, para pengunjung bukan sahaja dapat berjimat bahkan menambah pelbagai koleksi peribadi dan membantu persekolahan anak-anak.
"Ia sangat berbaloi," katanya kepada Sinar Harian.
Jualan Gudang Karangkraf 2024 kembali menemui pengunjung di Kompleks Kumpulan Karangkraf selama 10 hari bermula 25 Januari hingga 4 Februari ini dengan pelbagai tawaran aktiviti menarik.
Pengunjung juga berpeluang menerima potongan diskaun bagi tajuk buku terpilih dan cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM1,500.
Tambah Anis Syamila, bersempena bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi, pihak penganjur turut mengadakan program infaq al-Quran.
"Jualan Gudang kali ini bertemakan 'Road to Ramadan', jadi ini adalah masa yang terbaik untuk berinfaq dengan hanya RM5.
"Kita mahu menggalakkan orang ramai untuk berinfaq, saya rasa jumlah RM5 itu semua orang mampu, tidak perlu menunggu wang banyak untuk bersedekah," jelasnya.