PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian berhubung pengurangan 50 peratus hukuman penjara dan denda yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menerusi kenyataan berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa juga wajar dipecat kerana gagal dalam menjalankan tugasnya.
Menurut Muda, keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari lalu memberi kesan mendalam menjangkau politik kepartian.
"Ia bakal memberi kesan yang besar terhadap imej Malaysia di mata dunia, termasuk reputasi negara dari sudut ekonomi serta perundangan," kata parti itu pada Jumaat.
Lebih membimbangkan lagi kata Muda, ia memberi bayangan seolah-olah mereka yang kaya, mempunyai pengaruh dan kuasa politik mendapat keistimewaan dan jalan mudah.
"Kerajaan Madani yang diterajui Pakatan Harapan berpuluh tahun menjerit slogan reformasi dan keadilan, wajar menyatakan pendirian mereka dan menghantar mesej yang jelas," kata parti itu.
Ujar Muda, selaku wakil kerajaan di dalam lembaga itu yang berfungsi sebagai penasihat serta badan mencadangkan semua keputusan berkaitan pengampunan, Zaliha dilihat telah gagal menjalankan tugasnya.
"Zaliha wajar dipecat dengan segera," kata Muda.
Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan mengumumkan untuk membebaskan Najib lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.
Kenyataan yang dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri itu turut memaklumkan, Lembaga Pengampunan turut mengurangkan denda yang perlu dibayar Najib iaitu hanya RM 50 juga berbanding RM210 juta sebelum ini.
Najib, 70, yang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.