KUALA LUMPUR - Lembaga Pengampunan bukanlah satu badan yang berperanan seperti mahkamah tetapi lebih kepada memberikan belas kasihan atau belas ihsan kepada pesalah.
Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz berkata, sistem Perlembagaan Persekutuan memperakui kewujudan Lembaga Pengampunan dan ia boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan tiga perkara, pengampunan penuh, penundaan hukuman atau melegakan (mengurangkan hukuman).
Menurutnya, proses pengampunan yang berjalan sebelum ini tidak semestinya hanya melibatkan figura politik atau pemimpin semata-mata tetapi juga melibatkan rakyat biasa.
"Ada contoh macam sabitan itu juga diampunkan. Seolah-olah tidak ada sabitan. Itu full pardon atau free pardon.
"Dalam kes Datuk Seri Najib, ia melibatkan pengurangan dari segi jumlah hukuman. Secara umum, pertama Lembaga ini bukan bentuk mahkamah. Walaupun mahkamah nyatakan orang itu bersalah, tapi Lembaga wujud untuk memberikan rahmat atau belas kasihan,” katanya lagi.
Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun Lembaga berkata, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi bekas Perdana Menteri itu ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.
Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh terhadap proses pengampunan dan biasanya keputusan dilakukan selepas Baginda menimbang kesemua faktor berkaitan termasuk tahap kesihatan dan jasa bakti terhadap negara.
"Pada saya, dalam hal sesiapa sekali pun, apabila proses dibenarkan oleh undang-undang, maka angkatlah kedaulatan undang-undang. Soal adil tak adil, kita lihat dalam kes 2023, keputusan pada Mahkamah Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim vs Khairul Azam, diputuskan ia adalah budi bicara YDPA setelah menimbang nasihat pelbagai pihak, terutamanya Peguam Negara.
"Tak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. Jadi pada saya dalam hal berkaitan dengan keputusan Lembaga Persekutuan ini, kita secara keseluruhan menerima peranan yang ditetapkan undang-undang,” ujarnya. - Awani