Akram sah milik TFC

Iklan
Akram Mahinan

BEKAS pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan kini sah menjadi milik Terengganu FC (TFC).

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, pemain kelahiran Kedah yang berusia 31 tahun itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Penyu.

Iklan
Iklan

"Akram merupakan antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal cukup baik serta terkenal dengan aksi agresif dalam bertahan yang dilihat dapat membantu memperkemaskan dan memberi impak pada bahagian tengah pasukan ini (TFC).

"Akram juga antara pemain penting yang membawa KL City FC ke pusingan Piala Konfederasi Asia (AFC) 2022 dan naib juara Piala FA 2023," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, Akram memilih untuk berhijrah ke Terengganu setelah tertarik dengan corak kejurulatihan daripada Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner.

"Sekali gus ia memberikan keyakinan dirinya untuk hadir memperkuatkan jentera tengah pasukan Terengganu FC," ujarnya.

Iklan

Sementara itu, Akram yang bakal menyarung jersi nombor 14 tersebut berkata bahawa beliau sudah tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan TFC.

Akram juga turut menaruh harapan untuk membantu pasukan TFC bagi mendapatkan kejayaan pada musim 2024/2025.

Sebelum ini, Akram pernah beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), PKNS FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Beliau juga pernah mewakili negara bersama skuad bawah 19 tahun (U-19) di Kejohanan Remaja B-19 Piala AFF 2011.