Rentas 322km demi meriahkan Jualan Gudang Karangkraf

Iklan
Seramai 120 pelajar SMK Seri Pulai Perdana, Kulai, Johor ketika lawatan di kilang pengoperasian akhbar Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM - Seramai 120 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pulai Perdana, Kulai, Johor bersemangat merentasi 322 kilometer semata-mata mahu hadir memeriahkan Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Jumaat.

Guru pengiring, Shah Ridha Abdul Jalil, 49, berkata, pihaknya bergerak dari sekolah sejak semalam menggunakan sebuah bas bagi menghadiri program Kembara Pustaka Junior di Gemas, Negeri Sembilan, melawat Perpustakaan Negara, Wisma Bernama dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.

Shah Ridha

Iklan
Iklan

"Kemudian, dua lagi bas bertolak pada Subuh pagi ini ke kawasan lain dan seterusnya ke Kompleks Kumpulan Karangkraf pada sebelah petang.

"Lawatan sekolah ini dijalankan selama empat hari dan ia merupakan kali pertama kami datang ke sini dan insya-ALLAH akan berkunjung lagi pada masa akan datang sebab sangat menarik.

Iklan

"Cuma saya agak terkilan kerana lambat dapat tahu dan permohonan untuk menyertainya tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu lima minggu sebelum, baru boleh bawa anak-anak keluar negeri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jualan Gudang Karangkraf yang pertama untuk 2024 bermula sejak 25 Januari hingga 4 Februari dengan mengangkat tema #RoadToRamadan bersempena penganjuran kali ini.

Iklan

Ditanya mengenai keunikan program berkenaan, Shah Ridha memaklumkan, pengisian yang diketengahkan dalam Jualan Gudang Karangkraf mampu menarik minat pelbagai lapisan umur tidak kira pelajar sekolah, guru, ibu bapa dan anak-anak untuk mencari bahan bacaan ilmiah serta santai.

"Semoga promosi sebegini diperhebat lagi supaya saya boleh ajak lebih ramai kawan dan murid sekolah dari Johor untuk datang ke sini.

"Terima kasih juga kerana benarkan kami melawat gudang buku dan kilang pengoperasian akhbar Sinar Harian, bilik berita wartawan serta kawasan sekitar Kompleks Kumpulan Karangkraf,” ujar guru pustakawan dan media itu lagi.