PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan 12 lelaki tempatan berhubung kes membakar mercun di atas jalan raya dan menghalang lalu lintas di Kayu Ara, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya terkesan satu video berdurasi 22 saat yang tular dalam media sosial Facebook memaparkan seorang individu membakar mercun sambil menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat.
Beliau berkata, sejurus selepas individu itu melakukan perbuatan tersebut, terdapat beberapa buah konvoi motosikal mengiringi sebuah MPV jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang menggantung banner berunsurkan gengsterisme.
"Hasil siasatan awal mendapati 'posting' tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun 'Media Hutan' di Facebook pada Khamis jam 2 petang.
"Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Kayu Ara, Petaling Jaya pada tarikh dan masa yang masih belum dipastikan lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Fakhrudin berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya berjaya menangkap 12 lelaki tempatan berusia 22 hingga 68 tahun di Kampung Sungai Kayu Ara, dekat sini pada Khamis jam 10 malam yang dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat.
Kata beliau, pihaknya turut merampas sebuah MPV Toyota jenis Vellfire beserta alat kawalan jauh yang digunakan seperti dalam video tular tersebut.
Menurutnya lagi, hasil semakan rekod jenayah lampau, enam daripada 12 orang kena tahan (OKT) yang ditangkap mempunyai tujuh rekod jenayah, satu rekod dadah serta satu senarai orang yang dikehendaki berhubung kes komersial di Penampang, Sabah.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 7(A) Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Jelas beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.
Tambahnya, sekiranya sabit kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966, boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.
"Kesemua 12 OKT yang ditangkap telah dibawa ke Majistret Mahkamah Petaling Jaya pada Jumaat dan permohonan reman dibenarkan selama sehari kepada tiga individu, manakala suspek keempat hingga ke-12 selama empat hari sehingga Isnin," ujarnya.