Santai di Pija Hijau Cafe

Iklan
Konsep santai dan terbuka selain dijamu dengan panorama hijau menjadi tarikan di kafe tersebut

TEMERLOH - Tiga tarikan utama iaitu kafe, nurseri dan menaiki All-Train Vehicle (ATV) di bawah satu bumbung menjadikan Pija Hijau Cafe di sini menjadi destinasi unik dan menarik buat warga Temerloh khususnya.

Dengan jarak kira-kira 10 minit dari bandar Mentakab, pengunjung boleh bersantai dengan konsep kafe terbuka sambil menikmati makanan seperti nasi lemak dan minuman ringan selain mencuba ATV bersama keluarga dan rakan-rakan.

Iklan
Iklan

Kafe terletak di Taman Gopeng dekat Mentakab di sini yang mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu hasil idea sepasang suami isteri, Shaiful Bahari Mohamed, 45 dan Nor Hafizah Sahidan, 36.

Menurut Shaiful, minat mendalam dalam sukan lasak menjadi pencetus ideanya menjadikan kawasan sebelah kafe sebagai litar ATV yang diberi nama ATV Kechik Santai.

Iklan
Shaiful bersama ATV yang ditawarkan di kafe tersebut

"Setakat ini saya memiliki enam ATV pelbagai jenis iaitu manual dan automatik yang boleh digunakan oleh pengunjung,” katanya.

Jelasnya, kekurangan lokasi yang menawarkan litar ATV di daerah ini menyebabkan beliau memilih untuk menawarkan tarikan tersebut.

Iklan

"Setiap pengunjung dikenakan sebanyak RM20 untuk ATV 125cc manual dan RM25 (automatik) bagi tempoh 10 minit,” ujarnya.

Selain aktiviti ATV, pengunjung juga berpeluang menaiki kereta api yang dihasilkan dengan tong drum.

"Gerabak kereta api ini sesuai untuk keluarga yang bawa anak kecil. Dengan hanya bayaran RM5 seorang, penumpang boleh menaiki kereta api sebanyak tiga pusingan dalam trek,” katanya.

Minat sepasang suami isteri, Shaiful dan Nor Hafizah membawa mereka membuka kafe dengan pelbagai tarikan.

Menurutnya, walaupun Pija Hijau Cafe masih baru beroperasi namun setakat ini mereka mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

"Alhamdulillah, rata-rata pelanggan yang datang cukup teruja dengan konsep kafe kami ini.

"Sambutan diterima membabitkan pelbagai golongan umur dan kaum.

"Kami berharap ia dapat terus diterima dengan baik daripada masyarakat di sini,” tambahnya yang memaklumkan jumlah pengunjung meningkat pada hujung minggu dan hari pelepasan am.

Shaiful

--SH: SUKA TANAMAN

Nor Hafizah

Bagi Nor Hafizah pula, hobinya yang suka menanam pelbagai pokok hiasan serta herba membuatkan dirinya tidak mahu melepaskan peluang menawarkan nurseri di kafe tersebut selain dorongan daripada suaminya.

"Terdapat lebih 100 pokok untuk hiasan dalaman serta luar ditawarkan kepada pengunjung.

"Antara pokok yang ada di sini adalah seperti pokok duit-duit, keladi, monstera, bonsai, rhu dan palm jawa yang ditawarkan dengan harga berpatutan.

"Sambil makan bersama keluarga di kafe, bolehlah pengunjung menikmati panorama hijau,” katanya.

Mohd Kamarul

Sementara itu pengunjung, Mohd Kamarul Mohd Isa, 43, berkata, dia memilih untuk datang ke Pija Kafe Hijau itu kerana tertarik dengan konsep yang ditawarkan.

"Boleh cuci mata dengan pokok-pokok yang ada selain berehat dengan rakan-rakan dan keluarga,” ujarnya.

Roslan

Turut tertarik dengan konsep itu, dua sahabat, Roslan Ismail, 33 dan Syakirin Samsir, 28 yang menyifatkan ia boleh menjadi destinasi menarik di Temerloh.

Syakirin

"Kami berharap konsep ini diteruskan dan dapat diterima masyarakat sekitar Mentakab dan Temerloh khususnya,” jelas mereka.

Pija Hijau Cafe dibuka setiap hari kecuali Khamis bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari sebelum bersambung semula pada jam 3 petang hingga 11 malam.

Pengunjung juga berpeluang merasai ATV pada waktu malam