Kerajaan Madani terima tempias pembebasan awal Najib

Iklan
Najib Razak

SETELAH hampir setahun lebih Datuk Seri Najib Tun Razak, 71, meringkuk di Penjara Kajang, akhirnya bekas Presiden UMNO itu mendapat pembebasan awal pada 23 Ogos 2028.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

Iklan
Iklan

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mula dipenjara pada 23 Ogos 2018 selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, keputusan pembebasan awal Najib itu ternyata menimbulkan persepsi tidak baik terhadap pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya penipu dan tidak boleh dipercayai.

Iklan

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil membidas pemimpin parti kerajaan perpaduan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib.

"Saya sudah cakap. Mereka semua penipu, tetapi ada yang masih percaya dan berharap bahawa mereka boleh membantu.

Iklan

"Sekarang apa dah jadi? Masih mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi?

"Sokong jika anda mahu terus ditipu," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Pun begitu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan bahawa keputusan tersebut sebagai munasabah, berpatutan dan perlu dihormati.

Menurutnya, tindakan itu tidak boleh dicabar sama ada bersetuju ataupun tidak di mahkamah dan tetap tidak boleh dibicarakan.

Sementara itu, Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz menjelaskan, Lembaga Pengampunan bukanlah satu badan yang berperanan seperti mahkamah tetapi lebih kepada memberikan belas kasihan atau belas ihsan kepada pesalah.

Katanya, sistem Perlembagaan Persekutuan memperakui kewujudan Lembaga Pengampunan dan boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan tiga perkara, pengampunan penuh, penundaan hukuman atau melegakan (mengurangkan hukuman).