Lans Koperal Mohd Hafiz, Sarjan Rozali selamat dikebumikan

Iklan
Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, Kedah.

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, yang maut akibat kemalangan di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berdekatan Gurun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau kira-kira jam 12.50 tengah malam (Sabtu).

Jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz dibawa ke Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Iklan
Iklan

Terdahulu, jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz tiba di Masjid Al Wajdi dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan selesai disembahyangkan pada jam lebih kurang 11.50 tengah malam tadi.

Lebih 250 orang terdiri dalam kalangan pegawai dan anggota ATM, kenalan, ahli keluarga serta penduduk setempat hadir ke istiadat pengebumian bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mohd Hafiz.

Iklan

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Panglima 30 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Sebelum ini, media melaporkan kemalangan maut melibatkan tiga orang anggota Tentera Darat Malaysia di Kilometer 77.5 Lebuh raya Utara Selatan 10.45 pagi, pada Jumaat.

Jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan

Mereka yang terlibat dalam kemalangan dan disahkan meninggal dunia adalah Sarjan Rozali Abdul Rani, 39, Koperal Mohd Asri bin Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.

Ketiga-tiga anggota berkenaan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak sedang dalam konvoi melibatkan tiga buah trak menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

Salah sebuah kenderaan konvoi berkenaan mengalami kerosakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti di laluan kecemasan lebuh raya sebelum dirempuh oleh sebuah lori di lokasi kemalangan.

Jenazah Sarjan Rozali selamat dikebumikan

Dalam pada itu, di BESUT, TERENGGANU, jenazah Allahyarham Sarjan Rozali Abdull Rani,39, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor, di sini pada Sabtu.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Gong Bayor pada jam 5.45 pagi tadi dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah dengan menggunakan van jenazah.

Proses bedah siasat dijalankan di hospital itu sebelum jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya.

Lebih 100 orang termasuk pegawai dan anggota pasukan ATM turut berada di masjid bagi bersama-sama menunaikan solat jenazah.

Jenazah Allahyarham Rozali tiba di tanah perkuburan itu pada jam 7 pagi dan selesai dikebumikan kira-kira 60 minit kemudian.

Suasana hiba menyelubungi proses pengebumian jenazah Allahyarham Sarjan Rozali yang dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ATM.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Tuan Nor Hasliza Tuan Mohd Nor, 37, dan anak tunggalnya Muhamad Nabil Razali, 13.

Istiadat pengkebumian itu melibatkan anggota dari Kem 3, Rejimen Sempadan Pengkalan Hulu, Perak.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga termasuk anak tunggalnya sepanjang proses pengebumian tersebut berlangsung.

Turut hadir sama, Pegawai Memerintah Batalion Ke 3 Rejimen Sempadan Kem Pengkalan Hulu, Perak Leftenan Kolonel Saiful Azril Zahimi dan Ketua Staf Markas Briged Ke 8 Infantri Malaysia Kem Pengkalan Chepa, Leftenan Kolonel Mohd Azmi Mohd Nor.

Saiful Azril menyampaikan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham, Abdull Rani Ahmad pada penghujung istiadat pengebumian itu.