IPOH - Laluan Gopeng-Simpang Pulai di kedua-dua arah di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan terhalang berikutan kemalangan melibatkan tiga treler dan empat kereta pada Sabtu.
Kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi itu turut mengakibatkan aliran trafik sesak dan kenderaan tidak bergerak.
Difahamkan, terdapat mangsa tersepit dan beberapa individu lagi mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Operasi menyelamat dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan bantuan BBP Gopeng selepas menerima panggilan pada jam 7.46 pagi.
PLUS menerusi aplikasi X meminta kenderaan yang datang dari arah utara keluar di Plaza Tol Simpang Pulai manakala dari selatan keluar di susur Gopeng bagi mengelak kesesakan lebih teruk.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, aliran trafik di Plaza Tol Simpang Pulai sesak dengan kenderaan keluar dari lebuh raya.