KUANTAN - Sebanyak 27 premis makanan kotor di daerah ini diarah tutup dalam Operasi Pematuhan Pelabelan dan Premis Makanan Bersih Negeri Pahang 2024 yang dijalankan pada 30 hingga 31 Januari lalu.
Arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan terhadap pemilik premis bagi kerja-kerja pembersihan.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, sepanjang tempoh dua hari operasi dijalankan, sebanyak 97 premis diperiksa membabitkan pasar raya, pusat jualan borong, pasar mini, restoran dan kedai makan.
Menurutnya, sebanyak 258 notis Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dengan nilai kompaun RM173,650.
"Daripada jumlah notis dan kompaun itu, pelbagai kesalahan pelabelan produk makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 turut dikesan dan diambil tindakan.
"Antara kesalahan yang dikesan termasuk 22 kes di bawah Peraturan 18 iaitu mengandungi perkara-perkara dilarang pada label seperti tuntutan kesihatan dan penggredan kualiti dengan jumlah kompaun RM45,000," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, turut dikesan 14 kesalahan di bawah peraturan 11 iaitu tidak menyatakan nama sebutan sebenar atau nama yang mengelirukan pengguna (kompaun RM28,000).
"Hasil pemeriksaan dalam operasi itu juga, anggota penguat kuasa JKNP mengesan 10 kesalahan di bawah peraturan 14 iaitu produk tiada penandaan tarikh luput atau tarikh akhir (jumlah kompaun RM30,000).
"Selain itu JKNP turut mengesan empat kesalahan di bawah peraturan 10, produk tempatan tidak menggunakan Bahasa Malaysia dengan jumlah kompaun RM8,000 dan empat kesalahan di bawah Peraturan 9 iaitu tiada label pada produk makanan dengan jumlah kompaun RM12,000," katanya.
Dr Nor Azimi berkata, bagi pemeriksaan premis makanan pula, sebanyak 55 restoran dan kedai makan diperiksa sepanjang operasi itu.
"Hasil pemeriksaan itu, pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 telah dikesan.
"Antaranya, 121 kesalahan di bawah Peraturan 32 (kompaun RM12,100), Peraturan 3 (19 kes, kompaun RM5,700), Peraturan 33 (19 kes, kompaun RM2,850), Peraturan 8 (14 kes, kompaun RM2,800), Peraturan 31 (9 kes, kompaun RM4,500) dan Peraturan 11 (8 kes, kompaun RM8,00)," jelasnya.
Sementara itu katanya, operasi yang dijalankan pihaknya itu bertujuan memastikan semua label produk makanan yang dijual di pasaran dan premis makanan berada dalam keadaan bersih serta mematuhi Akta Makanan 1983.
"Pematuhan pelabelan bagi produk makanan penting untuk orang ramai mendapat maklumat yang tepat berkaitan produk makanan yang ada di pasaran.
"Pelabelan makanan bertujuan melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan kegunaan sesuatu makanan.
"Ia juga memberi faedah kepada industri makanan tempatan dalam memperkembangkan profil produk mereka kepada pengguna," jelasnya.