JELI - Seorang ibu tidak menyangka kelakuan pelik anak bongsunya yang sepenuh hati memohon maaf dan meminta air susu dihalalkan menjadi petanda ajal apabila dia maut dalam kemalangan di Gurun, Kedah pada Jumaat.
Minah Awang Cik, 72, berkata, anaknya, Allahyarham Koperal Mohd Asri Idris, 40, sempat singgah ke rumahnya di Kampung Baru, Jalan Malaysia di sini, ketika mempunyai tugas di Kelantan minggu lalu.
"Asri beria-ria minta saya ampunkan dosa-dosa dia, serta halalkan air susuan.
"Tingkah laku Asri membuatkan saya jadi pelik, kerana dia tidak pernah bersikap demikian.
"Selepas itu hati saya menjadi tidak keruan dan naluri dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena," katanya menahan sebak menceritakan kembali saat-saat bersama Allahyarham ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.
Minah memberitahu, selain itu dia sempat mengurut bahu anak bongsu daripada dua beradik itu selepas Mohd Asri mengadu sakit kepala.
Ujarnya, semasa pulang ke rumah arwah ada tertinggal beg sehingga memaksanya kembali semula sebelum bertolak pulang ke Perak.
Minah berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa anaknya itu petang semalam.
"Semasa mendapat tahu arwah sudah tiada, saya sedarlah yang perubahan sikapnya itu menandakan hidupnya sudah tidak lama.
"Sebagai ibu, saya reda," katanya yang tinggal sendirian selepas kematian suami beberapa tahun lalu.
Sementara itu isteri Allahyarham, Nor Fatihah Jusoh, 40, memberitahu, suaminya tidak sempat mengikuti kursus peralihan yang akan diadakan pada Ogos ini.
"Dia perlu jalani kursus itu kerana akan bersara wajib pada Ogos 2025.
"Semasa hari kejadian arwah keluar bekerja jam 7 pagi, tapi dia sempat singgah rumah sekitar jam 8 pagi. Kami hanya berborak sekitar 10 minit sahaja.
"Dalam jam 11 lebih saya terima panggilan mengatakan suami terlibat dalam kemalangan," katanya.
Ujar suri rumah itu, sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
Nor Fatihah memberitahu, mereka sudah mendirikan rumah tangga sejak 17 tahun lalu dan belum dikurniakan zuriat.
"Saya tidak mempunyai apa-apa perancangan. Mungkin akan pulang menetap di Setiu, Terengganu bersama keluarga," katanya.
Jenazah Mohd Asri selamat dikebumikan pada jam 5 pagi di Tanah Perkuburan Islam Mukim Lakota di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kemalangan maut melibatkan tiga anggota Tentera Darat Malaysia di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, 10.45 pagi, pada Jumaat.
Mereka yang terlibat dalam kemalangan dan disahkan meninggal dunia adalah Sarjan Rozali Abdul Rani, 39, Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.
Ketiga-tiga anggota berkenaan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak sedang dalam konvoi melibatkan tiga buah trak menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.