SUNGAI PETANI - Lans Koperal Mohd Hafiz Haris yang maut akibat kemalangan di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berdekatan Gurun pada Jumaat memang bercita-cita mahu menjadi seorang anggota tentera sejak kecil.
Rakan karib Allahyarham, Muhammad Syukri Din, 30, berkata, dia berbangga apabila hasrat rakannya itu termakbul dan berpeluang berbakti sehingga ke akhir hayat.
Menurutnya, walaupun Mohd Hafiz disifatkan sebagai seorang tegas dengan pendirian namun sering membantu jika seseorang memerlukan pertolongan.
"Arwah bercita-cita untuk menjadi anggota tentera sejak kecil kerana ingin mengikut jejak langkah beberapa orang ahli keluarga yang turut berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Alhamdullilah, cita-citanya itu terlaksana dan dia meninggal dunia ketika menjalankan tugas dalam bidang yang dia minat, di hari Jumaat pula," ujarnya.
Muhammad Syukri ditemui ketika hadir ke istiadat pengebumian Lans Koperal Mohd Hafiz di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau di sini pada awal pagi Sabtu.
Terdahulu, jenazah dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebaik selesai proses bedah siasat dan sampai ke Masjid Al-Wajdi kira-kira jam 11.30 malam Jumaat.
Muhammad Syukri yang datang dari Ipoh, Perak, mengakui tidak dapat menahan sebak kehilangan rakan karib yang dikenali sejak kecil itu.
Kali terakhir mereka bertemu adalah pada bulan Ogos tahun lalu ketika arwah pulang ke kampungnya di Perak dan bercadang untuk bertemu lagi pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Saya tak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami.
"Saya rebah sebaik sahaja adik arwah memaklumkan bahawa arwah sudah meninggal dunia dan saya seakan tidak percaya bahawa sahabat saya sudah pergi buat selama-lamanya," ujarnya.
Pada Jumaat, media melaporkan kemalangan maut melibatkan tiga orang anggota Tentera Darat Malaysia di Kilometer 77.5 Lebuh raya Utara Selatan 10.45 pagi, pada Jumaat.
Mereka yang terlibat dalam kemalangan dan disahkan meninggal dunia adalah Sarjan Rozali Abdul Rani, 39, Koperal Mohd Asri bin Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.
Ketiga-tiga anggota berkenaan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak sedang dalam konvoi melibatkan tiga buah trak menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.
Namun demikian, salah sebuah kenderaan konvoi berkenaan telah mengalami kerosakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti di laluan kecemasan lebuh raya sebelum dirempuh oleh sebuah lori di lokasi kemalangan.