KLANG - [DIKEMAS KINI] Suasana di kawasan Persiaran Raja Muda Musa di Pelabuhan Klang dikejutkan dengan kehadiran lebih 300 anggota dan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan yang dijalankan pada Sabtu.
Difahamkan, kawasan terbabit terkenal dengan kebanjiran warga asing yang menyewa beberapa unit kediaman di blok bangunan di sini.
Selain itu, ia dijadikan lokasi warga asing yang mencari rezeki dengan bekerja di sekitar kedai runcit dan gerai makanan.
Operasi bermula kira-kira jam 1.30 petang itu dijalankan dengan kepungan di sekitar kawasan berkenaan.
Sinar Harian yang mengikuti operasi berkenaan mendapati kesemua anggota polis terlibat menjalankan pemeriksaan di beberapa blok bangunan di sekitar kawasan Pekan Pelabuhan Klang itu.
Terdapat beberapa warga asing yang didapati cuba untuk melarikan diri bagaimanapun tindakan itu tidak berhasil disebabkan kawasan terbabit telah dikepung pihak berkuasa.
Difahamkan lebih 500 warga asing ditahan untuk pemeriksaan dan tujuan dokumentasi.
Tinjauan setakat jam 3 petang mendapati masih terdapat beberapa warga asing yang ditahan di sekitar kawasan terlibat.