BUKIT MERTAJAM - Kuih bakul atau 'Nian Gao' menjadi antara menu wajib ketika perayaan Tahun Baharu Cina malah tidak lengkap rasanya jika hidangan tradisi masyarakat Tionghua itu tidak disajikan terutama pada hari pertama perayaan.
Bagi Nur Farrah Diba Azhar, 34, peniaga kuih bakul dan kuih bulan di Bandar Perda, beliau bertuah kerana ibunya berketurunan Cina dan semua kuih yang dihasilkannya adalah halal berdasarkan resipi tradisional keluarga.
Sebelum membuka perniagaan itu enam tahun lepas, beliau terlebih dahulu berguru dengan mendiang datuknya, Teh Naik Ming dan jirannya, seorang wanita berketurunan Cina, menggunakan resipi asli untuk menghasilkan kuih bakul.
"Saya jual kuil bakul sepanjang tahun namun ketika Tahun Baharu Cina mendapat permintaan yang tinggi iaitu sekitar 3,500 hingga 4,500 biji dan saya bukan sahaja jual di kedai di Bandar Perda di sini malah di laman sosial terutama TikTok.
"Kuih bakul saya boleh pos ke seluruh negara dan juga Singapura, setakat ini kuih tersebut sampai dalam keadaan masih elok kepada pembeli, kerana ia boleh bertahan sehingga seminggu tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk," kata ibu kepada seorang anak lelaki ini kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di sini.
Menceritakan proses pembuatan kuih bakul, Nur Farrah Diba berkata, proses pembuatan kuih tradisi masyarakat Cina itu sangat rumit dan tidak boleh lalai sedikit pun kerana jika tidak, kuih bakul yang dihasilkan akan berair dan tidak naik.
Katanya, untuk mendapatkan kuih bakul yang bermutu, beliau menggunakan ramuan daripada bahan semula jadi terutamanya daun pisang yang digunakan sebagai pembalut kuih bakul untuk menaikkan aroma asli kuih itu.
"Proses bermula dengan mengisar beras untuk menghasilkan adunan dan apa yang istimewa dengan resepi saya ialah terdapat campuran minyak kacang tanah yang dihasilkan oleh saya sendiri dan ia akan menjadikan kuih bakul lebih lemak dan sedap serta berkilat.
"Seterusnya adunan itu akan dikukus selama 16 jam iaitu bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam menggunakan dapur gas dan setiap hari kami hanya boleh menghasilkan sebanyak 200 biji kuih bakul sahaja," katanya.
Selain itu, menurut Nur Farrah Diba beliau tidak menggunakan acuan plastik sebaliknya menggunakan acuan besi bagi mengekalkan bau, rasa dan tekstur kuih bakul itu.
Beliau berkata, proses untuk menyiapkan sebiji kuih bakul memakan masa selama tujuh hari kerana perlu memastikan kuih bakul betul-betul kering, jika tidak ia akan menggalakkan kehadiran kulat malah proses pembuatannya juga haruslah teliti dan bersih.
"Dari segi bancuhan dan adunan termasuk proses pembalutan adalah 100 peratus dilakukan sendiri, manakala pekerja hanya melakukan proses penyediaan barangan,” katanya yang mempunyai empat pekerja.
Nur Farrah Diba berkata, dalam proses belajar membuat kuih adat itu, beliau bukan sahaja diberi tunjuk ajar dan resipi tetapi juga mengenai pantang larangnya yang beliau percaya ia adalah satu disiplin dalam pembuatan makanan tersebut.
"Contohnya jangan bercakap ketika membuat kuih sebenarnya mengajar kita fokus, jadi apabila kita fokus pembuatan kuih lebih teliti dan ketika menghasilkannya hati perlu tenang serta gembira," katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu berkata, kepelbagaian bangsa dan budaya di Malaysia harus dimanfaatkan dengan mendalami makanan masyarakat lain dan secara tidak langsung jelasnya, ia dapat mewujudkan semangat perpaduan melalui makanan.
"Niat utama saya belajar membuat dan menjual kuih bakul ini adalah untuk berkongsi kegembiraan ketika makan kuih masyarakat Cina, mungkin ada masyarakat Melayu yang ingin tetapi ragu-ragu dengan status halal kuih bakul.
"Jadi saya rasa ini peluang dalam perniagaan sekali gus usaha menyatukan perpaduan melalui makanan,” kata kakak kepada empat beradik itu yang turut mendapat sokongan mereka serta suaminya. - Bernama