UMNO setuju teruskan pembelaan terhadap Najib

Iklan
Mesyuarat Khas MKT UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid dan dihadiri pemimpin atasan parti.

KUALA LUMPUR - UMNO akan meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, keputusan itu dibuat sesuai dengan laras undang-undang negara, di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib.

Iklan
Iklan

"UMNO mengambil maklum tentang keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Iklan

"Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut," menurut kenyataan yang dikeluarkan MKT pada Sabtu.

MKT UMNO juga menegaskan, pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri itu dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.

Iklan

Justeru, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan bersama-sama menjunjung semangat ini.

Terdahulu, satu Mesyuarat Khas MKT UMNO diadakan susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin atasan parti.

Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Ia susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari lalu untuk meringankan hukuman beliau.

Selain itu, jumlah denda yang perlu dibayar oleh bekas Presiden UMNO itu turut dikurangkan daripada jumlah asal iaitu RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, menjalani hukuman sejak 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.