KPM sentiasa tambah baik kaedah Pentaksiran Bilik Darjah

Iklan
Fadhlina (tiga dari kiri) bergambar dengan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Pulau Pinang selepas menyerahkan replika cek Bantuan Awal Persekolahan.

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menambah baik kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, proses untuk memantapkan PBD sentiasa berjalan dari semasa ke semasa termasuk mengadakan sesi libat urus bersama ibu bapa serta pihak berkepentingan lain.

Iklan
Iklan

Jelasnya, adalah penting untuk memahamkan semua pihak khususnya ibu bapa bagaimana pentaksiran murid dilakukan oleh guru di sekolah.

"Pentaksiran ini adalah jalan terbaik untuk pastikan proses menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Iklan

"Proses mengukuhkan pentaksiran itu adalah 'is on going' dan sentiasa diperbaiki. Sentiasa kita rujuk pada pakar-pakar, sentiasa pastikan guru-guru dilatih dan terlibat dengan latihan pengukuhan. Pastikan mereka ini diangkat dari segi prestasi, kompetensi (kecekapan) mereka untuk membuat pentaksiran dan libat urus dengan ibu bapa untuk memahamkan mereka bagaimana pentaksiran ini dibuat," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir Majlis Perasmian Penutup Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan di Dewan Kuliah 3, Kampus Kejuruteraan Transkrian, Universiti Sains Malaysia di sini.

Iklan

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, PBD adalah langkah yang baik, namun jika ia dilaksanakan dengan tidak tepat akan berlaku kekeliruan dalam kalangan guru, ibu bapa dan yang menjadi mangsa adalah murid-murid.

Katanya, guru-guru juga tidak dapat melaksanakan PBD dengan berkesan disebabkan jumlah murid yang terlalu ramai di dalam kelas.