IPOH - Treler muatan gula pasir yang menjadi punca kemalangan tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan di laluan Simpang Pulai-Gopeng pada Sabtu dikesan memiliki dua rekod saman trafik.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kedua-dua kesalahan itu merupakan rekod lampau yang dikenakan ke atas kenderaan berat jenis Hino tersebut.
Menurutnya, semasa kejadian, kenderaan yang dipandu seorang lelaki dari arah utara menghala selatan itu hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.
"Keadaan itu menyebabkan berlaku pertembungan antara kenderaan itu dengan sebuah lagi treler bermuatan gelung besi dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.
"Pertembungan mengakibatkan kedua-dua pemandu treler warga tempatan itu tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Semasa kejadian mereka didapati tidak membawa kelindan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Yahaya berkata, nahas turut melibatkan lima kenderaan lain masing-masing sebuah treler, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta.
Katanya, seorang daripada penumpang kereta mengalami patah tangan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan sementara yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintenden Koo Boon Kuat di talian 016-4173222 untuk membantu siasatan.
Difahamkan kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu melibatkan 13 mangsa berusia 7 hingga 65 tahun.
Operasi menyelamat dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dengan bantuan Gopeng selepas menerima panggilan pada jam 7.46 pagi.
Kejadian turut mengakibatkan aliran trafik sesak akibat terhalang di kedua-dua arah dan kenderaan tidak bergerak hampir 8 jam.
Setakat jam 3.53 petang, semua lorong arah utara dan lorong kanan arah selatan telah dibuka.
Laluan kontra telah dinyahaktifkan dan trafik perlahan 19 kilometer arah utara dan 4 kilometer arah selatan.