Aksi lawan Santos FC, KDA FC tampil perjelaskan keadaan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

HARAPAN peminat tempatan untuk melihat aksi pemanas badan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan pasukan popular Brazil, Santos FC 'berentap' di Darul Aman nampaknya tidak kesampaian.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin tampil menjelaskan keadaan tersebut dan berkata, wujud salah faham berhubung pengumuman aksi perlawanan pada 17 Februari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Sang Kenari menerima cadangan daripada pihak pengantara sekitar awal tahun ini berkaitan aksi persahabatan itu, namun tidak menyatakan sebarang persetujuan.

"Mengikut perancangan awal yang dicadangkan, kami tidak boleh. Kami memaklumkan tidak bersedia untuk perlawanan sebab kami belum lagi memulakan latihan pasukan dan rancangan latihan kami pula hanya bermula sekitar tarikh berkenaan.

Iklan

"Kami terkejut apabila mendapati pihak Santos FC mengeluarkan jadual perlawanan itu (17 Februari) di laman rasmi kelab berkenaan dua hari lalu," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas aksi persahabatan antarabangsa yang diumumkan oleh Santos FC di media sosialnya dan mendapat reaksi pelbagai pihak.

Iklan

Jelas Shahrul, tiada sebarang pengesahan secara hitam putih yang dikeluarkan menyatakan KDA FC bersetuju dan beliau tidak pasti bagaimana 'pengesahan' itu diterima Santos FC.

Menurutnya, selepas perkara tersebut dirujuk kepada pihak pengantara, pihak tersebut mengakui berlaku salah faham berkaitan perancangan yang diatur.

"Tidak ada sebarang persetujuan rasmi daripada pihak KDA FC dan ianya hanya sekadar jemputan secara mulut daripada pihak promoter atau pengantara.

"Untuk sebarang aksi persahabatan, pihak pengurusan pasti akan rujuk terlebih dahulu dengan pasukan dan dari awal lagi memang kami tidak bersedia pada tarikh yang dicadangkan itu kerana pihak kami (pasukan) belum sempat membuat persediaan latihan," katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan KDA FC menjadi pilihan Santos FC untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Darul Aman pada 17 Februari depan.

Kelab yang berpangkalan di Santos dan bertanding pada saingan Divisyen Dua Campeonato Brasileiro berkata, KDA FC di Malaysia dan Qatar menjadi pilihan dalam lawatan pertama Santos FC ke negara Asia.