Langkawi diiktiraf pulau kesembilan terbaik dunia

Iklan
Langkawi diiktiraf pulau kesembilan terbaik dunia.

LANGKAWI - Pemilihan Pulau Langkawi sebagai antara 10 pulau terbaik dunia merupakan satu lagi pengiktirafan dunia terhadap pulau legenda itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, anugerah Pulau Kesembilan Terbaik di Dunia 2023 itu diberikan oleh majalah pelancongan antarabangsa, Travel + Leisure.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengiktirafan World's Best Award 2023 oleh pembaca majalah tersebut akan membuka ruang kepada lebih banyak pengiktirafan dunia terhadap Langkawi.

"Anugerah ini adalah satu pengiktirafan dunia kepada Langkawi dan Kedah.

Iklan

"Tahniah kepada semua komuniti Langkawi, agensi Persekutuan dan negeri, pemain industri pelancongan serta syarikat yang memberikan sokongan dan sumbangan untuk menjadikan Langkawi pulau percutian bertaraf antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Mikio Trip Langkawi 2024 di sini pada Jumaat malam.

Mohd Salleh (kanan) pada sidang akhbar di Langkawi.

Mohd Salleh berkata, pengiktirafan daripada majalah yang sangat berpengaruh dalam sektor pelancongan itu merupakan impian yang tidak dijangkau.

Iklan

"Jadi, apabila Pulau Langkawi berada dalam senarai itu, dengan skor 93.65, tentulah kita berhak berasa bangga dan teruja,” ujarnya.

Menurutnya, diharap pengiktirafan itu akan menjadi isyarat awal untuk Pulau Langkawi terus mendapat lebih banyak pengiktirafan antarabangsa sepanjang tahun ini.

"Saya harap pencapaian ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan dan perancangan negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025,” jelasnya.

Majalah Travel + Leisure berpangkalan di New York dan diterbitkan sejak 1937 mempunyai jumlah pembaca melebihi 4.8 juta di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata, Program Mikio Trip Langkawi 2024 anjuran Mimi Suri Heritage Sdn Bhd wajar dicontohi syarikat lain kerana ia bukan sahaja merancakkan pelancongan Langkawi, malah mempromosi pelancongan tempatan.

"Diharap lebih banyak syarikat tempatan sama ada di Kedah atau luar negeri ini mengambil inisiatif yang sama untuk adakan program dalam negeri, terutamanya di Langkawi.

"Tidak salah mengintai emas di laman orang, tetapi gilaplah permata di depan mata. Marilah kita meriahkan industri pelancongan negara dan semarakkan ia kerana limpahan peluang ekonomi yang datang bersamanya akan dapat kita kongsi bersama,” ujarnya.

Pulau Langkawi dipilih antara 10 pulau terbaik dunia dalam World's Best Award 2023 oleh pembaca majalah Travel + Leisure.

Menurutnya, program tersebut disertai lebih 300 ejen jualan syarikat berkenaan termasuk dari Thailand untuk bercuti di Langkawi dan ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025.

"Program seumpama yang dijayakan oleh syarikat berpangkalan di Kedah ini dapat menyokong industri pelancongan tempatan, sekali gus menyumbang dalam sektor pelancongan negara,” jelasnya.