ISKANDAR PUTERI - Seramai 101 anggota polis termasuk 12 pegawai kanan terlibat sepanjang Ops Selamat sempena sambutan Tahun Baru Cina mulai 8 hingga 13 Februari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, sepanjang tempoh tersebut juga, beberapa operasi merangkumi semua aspek seperti jenayah, trafik dan lain-lain turut dilaksanakan.
"Mulai 8 hingga 13 Februari ini, kita akan fokuskan di checkpoint pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang mana kita tahu sepanjang minggu ini dan minggu depan, mungkin jumlah kenderaan akan bertambah.
"Oleh itu, kita akan letakkan anggota di sana untuk mengawal pergerakan lalu lintas. Begitu juga dengan jenayah, kita akan meletakkan anggota 24 jam dibantu dengan anggota-anggota balai membuat rondaan di sekitar kawasan tumpuan di Bukit Indah, Nusa Bestari, dan juga Gelang Patah," katanya.
Rahmat berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Cegah Jenayah dan Kempen Rumah Selamat sempena Tahun Baharu Cina peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di AEON Bukit Indah, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rahmat turut meminta kerjasama penduduk agar melaporkan ketiadaan mereka dengan mengisi borang bagi memudahkan anggota polis menjalankan pengawasan sepanjang Ops Selamat.
Sementara itu, Rahmat berkata, pihaknya sentiasa memberikan bantuan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor khususnya dalam isu lambakan warga asing di negeri ini.
"Kita sentiasa memberi bantuan sekiranya diperlukan oleh pihak imigresen dari segi mengawal keselamatan dan ketenteraman di lokasi pendatang asing," katanya.