KLANG -"Saya tak lari, cuma nak cepat balik masak untuk suami."
Itu antara helah diberikan seorang wanita warga asing ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa ketika serbuan dijalankan di Persiaran Raja Muda Musa di pekan Pelabuhan Klang di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun helahnya terbongkar selepas pemeriksaan dijalankan mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen sah.
Sebelum itu, wanita terbabit cuba melarikan diri menerusi pintu belakang rumah selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun tindakannya itu disedari anggota polis bertugas sebelum dikejar dan berjaya ditahan.
Wanita itu kemudiannya memberikan alasan berada di rumah rakannya di situ dan ingin segera pulang untuk memasak.
Selain itu, serbuan yang dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) itu berjaya memberkas seorang wanita warga asing yang dipercayai bersembunyi di atas bumbung.
Difahamkan operasi yang dijalankan bermula jam 1.30 petang itu bertujuan menangani kebanjiran warga asing dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing di kawasan berkenaan.
Kira-kira 301 warga asing ditahan setakat ini kerana didapati tidak memiliki dokumen sah.
Warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat di sekitar lokasi terlibat.