80 peratus kemalangan jalan raya kerana kesilapan manusia - Pakar

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.

SHAH ALAM - Kira-kira 80 peratus punca kemalangan di jalan raya berlaku akibat ‘kesilapan manusia’ itu sendiri, menurut statistik dan kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Ahli Bersekutunya, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, ia berikutan had laju setiap kenderaan yang menggunakan jalan raya tanpa mengira jenis muatan perlu bergantung kepada keadaan jalan dilalui kerana setiap daripadanya berbeza-beza.

Iklan
Iklan

"Masyarakat perlu rujuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebuh raya dua lorong untuk kereta atau motosikal dan muatan berat seperti lori, masing-masing 110km/jam serta 90km/jam, tetapi di jalan Persekutuan juga negeri, 90km/jam dan 80km/jam.

"Ia juga berlainan di kawasan bandar atau sekolah iaitu 60km/jam dan 30km/jam, bergantung kepada jenis kenderaan kalau kategori ringan maka had laju lebih tinggi.

Iklan

"Kebanyakan kenderaan berat memandu melebihi had laju dan apabila memecut, jarak untuk berhenti jadi kurang. Semakin besar kenderaan, semakin besar kemusnahan jika terlibat perlanggaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau mengulas kes kemalangan di laluan Simpang Pulai-Gopeng di Kilometer 288.1 arah utara sekitar jam 7.30 pagi pada Sabtu melibatkan tujuh kenderaan dan dua mangsa dilaporkan maut dalam nahas tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, punca kemalangan bagi kes terbabit masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Marwan turut menjelaskan, sebagai pemandu yang bertanggungjawab dan berhemah, mereka sepatutnya tahu cara untuk mengawal had laju kenderaan berat dalam apa jua situasi.

"Ini kerana boleh dikatakan agak kerap kenderaan berat terlibat dalam kemalangan, justeru saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci tentang punca kejadian,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pakar keselamatan jalan raya, Profesor Dr Law Teik Hua memaklumkan, kerajaan perlu memperkenalkan polisi baharu bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang meningkat secara signifikan setiap tahun.

Tambah beliau, kawasan rehat dan rawat (R&R) yang kondusif juga perlu dititikberatkan demi keselesaan pemandu kenderaan berat terutamanya jenis muatan panjang.

"Ini kerana fasiliti yang tidak selesa membuatkan pemandu kurang berehat dan mengantuk sepanjang perjalanan, jadi untuk mengurangkan mengantuk, mereka memandu laju.

"Kawasan R&R tak sesuai untuk kenderaan panjang, jadi adakah pemandu sudi nak berehat di tempat yang kurang selesa?

"Perkara ini perlu diteliti semula kerana penyelesaiannya ada, cuma terpulang kepada kebijaksanaan pembuat polisi sama ada mahu melakukannya atau tidak,” ulas Teik Hua lagi.