13 pendatang bagi alasan ditipu sindiket pekerjaan ketika minta perlindungan

Iklan
Seramai 13 pendatang asing tanpa izin yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor telah ditahan di sebuah kebun jambu di Kampung Senta hari ini. - Foto: Bernama

TAPAH - Sekumpulan 13 pendatang yang cuba meminta perlindungan dari seorang penjaga kebun jambu di Kampung Senta di sini selepas meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, memberi alasan mereka ditipu sindiket pekerjaan.

Bagaimanapun alasan itu tidak mengaburi mata penjaga kebun warga Indonesia yang dikenali sebagai Ali, 40-an, yang melaporkan mereka kepada pihak Jabatan Imigresen.

Iklan
Iklan

Ali yang telah lebih 10 tahun bekerja di ladang seluas 80.9 hektar (200 ekar) itu berkata, ketika sedang bekerja di kebun jambu itu, dia disapa salah seorang pendatang berkenaan.

"Saya tahu mereka memang tahanan yang dicari, jadi saya bagi mereka makan, minum, bagi masuk rumah dulu sebelum laporkan kepada imigresen,” katanya ketika ditemui pemberita di kebun itu di sini petang ini.

Iklan

Sebelum itu, 13 pendatang berkenaan ditahan polis, ketika sedang berlindung di sebuah rumah kongsi di sini hari ini.

Penahanan itu menjadikan tangkapan setakat ini 39 orang dan baki 92 lagi masih diburu.

Iklan

Seramai 131 pendatang tanpa izin yang terdiri daripada 115 Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang Bangladesh, melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor dua hari lepas.

Bagaimanapun, seorang lagi maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 335 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.

Sementara itu, pihak media yang mengikuti pihak berkuasa untuk menahan sekumpulan 13 pendatang tanpa izin itu di kebun jambu berkenaan, terpaksa berjalan kaki meredah lumpur dan anak sungai untuk sampai di lokasi berkenaan.

Ini kerana laluan ke kebun itu bukan sahaja berlumpur tetapi perlu melalui anak sungai yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Apabila tiba di lokasi, kesemua pendatang berkenaan ditempatkan di satu kawasan lapang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Tapah. - Bernama